Enam selebriti dikompaun RM1,500, Caprice pula kena RM10,000

Enam daripada tujuh selebriti terkenal dikenakan kompaun RM1,500 seorang kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika hadir pada satu majlis di sebuah hotel, di ibu negara, 29 April lalu.

Seorang lagi artis, Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli daripada syarikat penganjur majlis itu dikompaun RM10,000 kerana gagal memastikan tetamu memakai pelitup muka sepanjang tempoh majlis berlangsung.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah, berkata kompaun itu diputuskan Pejabat Peguam Negara yang mengembalikan kertas siasatan kepada pihaknya, semalam.

“Pejabat Peguam Negara memutuskan enam individu terbabit dikenakan kompaun RM1,500 setiap seorang.

“Mereka ialah Nurin Afiqah Zulkifli, Nur Heliza Helmi, Nur Hazwani Helmi, Ahmad Faizal Yaakob, Wan Mawar Shaputri Wan Abdul Rashid dan Nur Iman Alysaa Sahabuddin,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini..

Beliau berkata semua selebriti itu gagal memakai pelitup muka ketika menghadiri Majlis Berbuka Puasa dan Rapatkan Saf 2021 di sebuah hotel di ibu negara.

Beliau berkata, kesemua individu terbabit dikompaun, semalam, kerana gagal mematuhi SOP penganjuran majlis sosial dalam tempoh PKPB.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 21 Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 serta Peraturan 19 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) Kawalan Pergerakan Bersyarat (No 4) 2021.

BERITA BERKAIT
POPULAR