Enam negeri catat peningkatan kes baharu, Johor tertinggi

Hanya enam negeri dan Wilayah Persekutuan mencatat peningkatan jangkitan baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi, seiring penurunan kes daripada 6,517 semalam kepada 5,809 hari ini.

Bagi Lembah Klang, hanya Putrajaya sahaja yang mencatat peningkatan itupun hanya satu kes, daripada 74 semalam kepada 75 kes hari ini.

Selangor, walaupun merekodkan penurunan daripada 1,752 semalam kepada 1,601 hari ini, negeri itu masih kekal menjadi penyumbang tertinggi kes Covid-19 di negara ini.

Manakala, Kuala Lumpur juga merekodkan penurunan daripada 441 kes semalam kepada 347 hari ini.

Sementara itu, Johor merekodkan peningkatan daripada 517 kes semalam kepada 549 hari ini, menjadikan jumlah keseluruhannya sejak awal tahun lalu sehingga hari ini meningkat kepada 223,403 kes.

Dalam tempoh itu juga, seramai 214,078 pesakit di Johor disahkan sembuh, manakala 3,710 meninggal dunia.

Sehingga semalam, negeri itu merekodkan 5,565 kes aktif dengan 4,315 pesakit menjalani kuarantin kendiri di rumah; 678 ditempatkan di PKRC; 540 dirawat di hospital; dan 32 dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU), termasuk 22 yang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Pada masa sama, Pulau Pinang turut mencatat peningkatan kes daripada 254 semalam kepada 305 hari ini; diikuti Perak (267 hari ini, 243 semalam); Terengganu (247 hari ini, 243 semalam); dan Labuan (12 kes hari ini, lapan semalam).

Melaka yang bakal berdepan Pilihan Raya Negeri pada 20 November ini merekodkan penurunan kes daripada 299 semalam kepada 198 kes hari ini.

Sehingga kini negeri itu mencatat 67,659 kes positif dengan 63,945 pesakit disahkan sembuh, dan 912 kematian akibat komplikasi Covid-19.

Melaka juga mencatat 2,753 kes aktif dengan 2,310 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 289 ditempatkan di PKRC; 138 dimasukkan ke hospital; dan 16 pesakit dirawat di ICU, termasuk lapan yang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Keseluruhannya sejak awal tahun lalu hingga tengah hari tadi sebanyak 2,535,600 kes positif Covid-19 dilaporkan di negara ini dengan 2,441,485 daripadanya telah sembuh, dan 29,576 meninggal dunia.

BERITA BERKAIT
POPULAR