Enam muka baharu dilantik menteri penuh

Dua puluh lima daripada 31 anggota Kabinet pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah muka lama yang membarisi Jemaah Menteri Kerajaan Perikatan Nasional (PN), pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebelum ini.

Enam muka baharu yang dilantik ke jawatan menteri penuh iaitu:

1) Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (Bersatu);
2) Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar (UMNO);
3) Ahli Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid (UMNO);
4) Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim (UMNO;
5) Ahli Parlimen Santubong, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar (PBB-GPS); dan
6) Senator Idris Ahmad (PAS).

Perdana Menteri ketika mengumumkan senarai nama Jemaah Menteri itu hari ini berkata barisan Kabinet itu dipilih daripada kombinasi mereka yang berpengalaman, diyakini mampu membantu negara memulihkan ekonomi dengan menyokong usahawan, memudah cara perniagaan, dan merancakkan semula aktiviti ekonomi serta meningkatkan keyakinan pelabur.

Katanya, anggota Kabinet yang dibentuk itu adalah pasukan pengurusan yang akan bekerja bersama rakyat, bertindak pantas dan bersepadu dalam usaha membebaskan Malaysia daripada ancaman pandemik Covid-19, kegawatan ekonomi serta kekusutan politik.

“Umum mengetahui saya menerima kerajaan ini dalam keadaan seadanya. Justeru, pembentukan Kabinet ini merupakan satu formulasi semula berdasarkan situasi semasa, demi mengekalkan kestabilan dan meletakkan kepentingan serta keselamatan Keluarga Malaysia lebih
daripada segala-galanya.

“Saya akui bahawa kita sedang berada dalam keadaan yang getir akibat pandemik Covid-19, kegawatan ekonomi dan diburukkan lagi dengan ketidakstabilan politik negara,” katanya.

Sehubungan itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan akan memperkasa Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) dalam mendidik Keluarga Malaysia untuk hidup bersama virus ini, selain terus mengawal risiko Covid-19 dan mengamalkan norma baharu dalam kehidupan seharian.

“Saya akan memastikan barisan Kabinet komited menjayakan agenda negara, melalui jalinan kerjasama rentas parti bagi memacu pemulihan ekonomi demi kesejahteraan rakyat.

“Selaras dengan hala tuju Pelan Pemulihan Negara (PPN), aktiviti ekonomi akan dibuka secara berfasa bagi membolehkan rakyat mula bekerja dan mencari nafkah dengan selamat,” katanya.

Perdana Menteri berkata Kabinet yang akan mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Isnin ini, perlu berorientasikan hasil yang berlandaskan kepada tiga prinsip iaitu:

a. Peka dengan keperluan semasa
b. Bertanggungjawab dan amanah
c. Mengembalikan semula keyakinan rakyat

Ismail Sabri memberi jaminan akan memastilkan setiap kementerian membuat perancangan jangka pendek dan jangka panjang serta mencapai sasaran yang ditetapkan dan membuktikan pencapaian awal dalam tempoh 100 hari pertama.

BERITA BERKAIT
POPULAR