Enam kematian akibat Covid-19 semalam di luar fasiliti kesihatan

Tiga puluh satu pesakit meninggal dunia akibat komplikasi Covid-19 dalam tempoh 24 jam semalam (Jumaat, 8 April 2022), lapor Kementerian Kesihatan (KKM), hari ini.

Jumlah itu termasuk enam pesakit meninggal dunia di luar fasiliti kesihatan sebelum mayat dibawa ke hospital atau kes ’brought in death’ (BID).

Angka terbaharu itu menjadikan kumulatif kematian sejak wabak Covid-19 melanda Malaysia pada Mac 2020 hingga semalam sebanyak 35,259 kes, termasuk 7,449 kes BID.

Data laman sesawang CovidNOW yang dikemas kini pagi ini menunjukkan buat pertama kali tahun ini Putrajaya merekodkan kes kematian tertinggi iaitu sebanyak enam kes, menjadikan kumulatif sebanyak 40 kes.

Sehingga semalam, Putrajaya mencatat kumulatif positif sebanyak 18,448 kes, dengan 17,711 pesakit telah sembuh; dan 697 kes masih aktif.

Daripada jumlah kes aktif itu, 663 pesakit menjalani kuarantin di rumah, 33 dimasukkan ke hospital, dan seorang pesakit memerlukan alat bantuan pernafasan sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU).

Sehingga semalam, sebanyak 390,807 dos vaksin Covid-19 telah diberikan kepada populasi di Putrajaya, termasuk 148,245 atau 95.5 peratus yang menerima dos kedua, dan 160,921 atau 101.3 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos, dan 81,710 atau 93.9 peratus individu dewasa menerima dos penggalak.

Bagi negeri-negeri lain, Johor, Kedah dan Sarawak masing-masing merekodkan empat kematian semalam, diikuti masing-masing tiga di Pahang serta Perak; masing-masing dua di Melaka, serta selangor; dan masing-masing satu di Pulau Pinang, Terengganu dan Kuala Lumpur.

Tiada kes kematian akibat Covid-19 di Kelantan, Negeri Sembilan, Perlis, Sabah dan Labuan semalam.

Pecahan kes berkaitan Covid-19 di setiap negeri sehingga 8 April 2022.

BERITA BERKAIT
POPULAR