
Empat warga Nigeria ditahan berusia dalam lingkungan 30-an dan 40-an dipercayai terbabit dalam penipuan bungkusan.
Polis menahan empat suspek susulan siasatan ke atas kes penipuan bungkusan yang menyebabkan seorang pesara mengalami kerugian RM64,000.
Dalam satu kenyataan pada Jumaat (8 Julai), Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata mangsa telah ditipu pada Mac lalu selepas dipercayai menjalin persahabatan dengan seorang wanita warga Jerman di Facebook.
Kedua-duanya terus berhubung melalui WhatsApp dan mangsa diberitahu bahawa dia telah dihantar beberapa hadiah.
“Selepas beberapa lama suspek memberitahu dia menghantar beberapa barangan seperti komputer riba, jersi bola sepak dan wang tunai RM20,000 tanpa sebab yang jelas, hanya menyatakan ia adalah hadiah.
“Pada 21 Mac, mangsa menerima panggilan daripada ‘Patrick’ yang mendakwa dia dari British Delivery Service. Dia diberitahu barang itu sudah sampai ke Malaysia tetapi tidak menjelaskan ke mana ia dihantar.
“Mangsa kemudiannya diberitahu untuk membayar RM1,750 untuk beberapa kos termasuk kos pemprosesan jika mahu barangan itu. Mempercayanya, mangsa membuat beberapa pembayaran ke dalam beberapa akaun bank, menyebabkan kerugian keseluruhannya RM64,000, ” katanya.
Mangsa akhirnya mengesyaki dia telah ditipu sebelum membuat laporan.
Berdasarkan maklumat yang dikumpul, serbuan dilakukan pada 6 Julai lalu, di sebuah restoran makanan segera di Sri Damansara.
“Empat warga Nigeria ditahan berusia dalam lingkungan 30-an dan 40-an. Beberapa rampasan turut dilakukan termasuk bukti kukuh yang menunjukkan suspek merupakan pesalah utama kes tersebut. Mereka direman empat hari sehingga 10 Julai ini,” katanya.
Fakhrudin menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dan tidak terpengaruh dengan janji seperti itu daripada “rakan dalam talian”.