Empat PRN, RM420 juta wang rakyat sudah dibelanjakan

Sebanyak RM420 juta wang rakyat sudah dibelanjakan bagi menanggung kos empat Pilihan Raya Negeri (PRN) yang diadakan sejak 2020 sehingga bulan ini di Johor.

Dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kos PRN tersebut melibatkan Sabah, Melaka, Sarawak dan Johor.

“Kos perbelanjaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi pelaksanaan beberapa siri Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), adalah RM130 juta untuk PRN Sabah Ke-16 (pada 2020).

“Selain itu, RM45 juta bagi PRN Melaka Ke-15 (pada 2021); RM149 juta untuk PRN Sarawak Ke-12 (pada 2021) dan RM96 juta bagi PRN Johor Ke-15 (tahun ini),” katanya dalam jawapan itu.

Beliau menjawab soalan Sim Chee Keong (Pakatan Harapan-Bukit Mertajam) yang bertanyakan perbelanjaan keseluruhan setiap PRN di Sabah, Melaka, Sarawak dan Johor.

Wan Junaidi berkata, semua kos pelaksanaan PRN itu antara lain merangkumi perolehan pembelian dan sewaan peralatan pilihan raya, kenderaan, pembangunan teknologi komunikasi maklumat (ICT), logistik, elaun petugas dan keperluan lain berkaitan.

“Perbelanjaan ini turut mengambil kira peralatan mengikut garis panduan pencegahan Covid-19,” katanya.

Untuk rekod, semua PRN tersebut diadakan pada ketika negara sedang berdepan cabaran penularan pandemik Covid-19 yang melanda negara.

BERITA BERKAIT
POPULAR