
Buat pertama kalinya, Apple akan menawarkan versi iPhone standard yang besar, 6.7 inci. - Gambar Unbox Therapy
Gergasi teknologi, Apple Inc mengumumkan rancangannya untuk memperkenalkan barisan iPhone 14 dan jam tangan pintar terbaharu pada 7 September depan.
Menurut Bloomberg News syarikat itu telah menghantar jemputan untuk pembentangan bertajuk “Far Out,” menggambarkannya sebagai acara persendirian di Teater Steve Jobs di ibu pejabatnya di Cupertino, California.
Ia bakal bermula pada jam 10 pagi waktu tempatan. Syarikat itu juga akan menyiarkan acara secara langsung di laman webnya, meneruskan pendekatan yang digunakan sejak wabak Covid-19 bermula.
Pelancaran iPhone baharu sentiasa menjadi detik besar bagi Apple, yang sebelum ini memperoleh kira-kira AS$366 bilion dalam jualan peranti tahunannya tahun lepas.
Tetapi terdapat tekanan tambahan tahun ini kerana syarikat menghadapi kelembapan dalam perbelanjaan pengguna – terutamanya dalam industri telefon pintar – dan memerlukan teknologi terkininya untuk menarik pembeli.
Apple Inc juga merancang pelancaran produk yang lebih bercita-cita tinggi daripada biasa pada bulan-bulan akan datang, dengan pelbagai Mac, iPad, AirPod baharu dan juga ‘head-set’ realiti campuran yang dijangka menjelang separuh pertama 2023.
Pelancaran 1Phone 14 akan menjadi acara ketiga Apple tahun ini, susulan pelancaran Mac Studio, 5G iPhone SE dan iPad Air baharu, selain pratonton iOS 16, macOS Ventura dan ciri perisian baharu yang lain.
Pada pelancaran 7 September, Apple merancang untuk mengumumkan empat model iPhone 14 baharu dan tiga versi Apple Watch, lapor Bloomberg News.
Barisan iPhone baharu akan terus dibahagikan kepada dua versi standard dan dua model Pro.
Bagaimanapun, buat pertama kalinya, Apple akan menawarkan versi iPhone standard yang besar, 6.7 inci. Dan ia tidak akan menawarkan model mini seperti yang dilakukan dengan iPhone 12 dan iPhone 13.
Sebahagian besar penambahbaikan tahun ini akan datang kepada barisan iPhone 14 Pro, yang akan memperoleh kamera belakang 48 megapiksel baharu, pemproses yang lebih pantas, hayat bateri yang lebih baik, peningkatan rakaman video dan sistem kamera hadapan yang direka bentuk semula.
Pada versi Pro, potongan takuk yang diperkenalkan dengan iPhone X pada 2017 akan digantikan dengan potongan tebuk lubang dan berbentuk pil untuk kamera hadapan dan penderia Face ID.
iPhone 14 Pro direka untuk menjadi telefon yang boleh menggegarkan rangkaian iPhone dengan berpotensi membawa reka bentuk yang berbeza daripada iPhone 13 Pro.
Barisan Apple Watch baharu akan mewakili set perubahan terbesar syarikat pada peranti sejak dikeluarkan pada 2015. Itu akan termasuk kemas kini kepada Apple Watch SE dengan pemproses yang lebih pantas.
Terdapat juga model Apple Watch Series 8 dengan sensor suhu badan dan ciri baharu untuk kesihatan wanita. Dan syarikat itu mengeluarkan versi mewah baharu yang mungkin akan digelar Apple Watch Pro.
Walaupun Apple Watch Series 8 akan kelihatan serupa dengan Siri 7 tahun lepas, versi Pro akan mempunyai reka bentuk yang baharu, paparan yang lebih besar sedikit dan bateri yang lebih berkuasa. Peranti baharu itu akan disasarkan kepada pengguna yang lebih ‘sporty’ dan akan datang dengan bahan titanium yang lebih lasak.
Sekitar Oktober, Apple merancang untuk mengeluarkan kemas kini penting pada iPad Pro dan iPad peringkat permulaan, sebagai tambahan kepada Mac baharu dengan pemproses berasaskan M2 Pro.
Awal minggu ini, syarikat itu mengesahkan laporan Bloomberg yang mengatakan iPadOS akan ditangguhkan sehingga selepas iOS 16. Kemas kini perisian iPad akan dikeluarkan pada Oktober bersama macOS Ventura.