Empat mayat tanpa identiti terapung di perairan Pulau Sembilan

Empat mayat, tiga daripadanya ditemukan terapung pada kedudukan 14.2 batu nautika di barat Pulau Buloh, Pulau Sembilan, dekat Lumut pagi tadi.

Pengarah Maritim Perak, Kapten Maritim Shahrizan Raman berkata Pusat Operasi Maritim Negeri Perak (PUSOP) menerima maklumat awal berhubung penemuan empat mayat itu oleh komuniti maritim kira-kira jam 9.05 pagi.

Beliau berkata, susulan itu pihaknya mengarahkan Kapal Maritim (KM) Nyalau yang melaksanakan rutin rondaan ke lokasi sebelum menemui mayat berkenaan pada jam 2.08 petang, lapor Bernama.

“Dalam pada itu, aduan yang sama turut diterima talian MERS 999 dan MRSC Langkawi, seterusnya disalurkan kepada Maritim Negeri Perak untuk tindakan selanjutnya.

“Mayat berkenaan membabitkan tiga wanita dan satu lelaki. Sehingga kini, Maritim Malaysia tidak menerima sebarang aduan berkenaan orang jatuh laut mahupun permohonan bantuan perubatan di laut berdasarkan penemuan mayat terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Maritim Malaysia Negeri Perak tidak menolak sebarang kemungkinan bahawa kejadian ini terdapat unsur-unsur jenayah di laut dan siasatan lanjut akan dilaksanakan,” katanya.

Shahrizan berkata keempat-empat mayat tersebut dibawa ke jeti Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Kampung Acheh dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Pada masa sama, Maritim Malaysia menggesa komuniti maritim supaya membatalkan niat ke laut sekiranya cuaca buruk dan jika keadaan mendesak, orang ramai diminta mengutamakan keselamatan dengan sentiasa memakai jaket keselamatan memandangkan keadaan cuaca di laut pada masa ini tidak menentu.

BERITA BERKAIT
POPULAR