
Kemalangan membabitkan tujuh kenderaan di Kilometer 277.1 Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan, dekat Ipoh, petang tadi, menyebabkan seorang lelaki dan tiga wanita maut di tempat kejadian.
Empat terbunuh dalam nahas membabitkan tujuh kenderaan, termasuk sebuah treler di Kilometer 277.1 Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan, dekat Ipoh, petang tadi.
Mangsa membabitkan seorang lelaki dan tiga wanita disahkan maut di lokasi kejadian oleh petugas kesihatan. Setakat ini, identiti mereka masih belum dikenal pasti.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, berkata mereka menerima panggilan kecemasan diterima pada jam 3.02 petang dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Meru Raya dihantar ke lokasi kejadian.
Katanya, setibanya di lokasi bomba mendapati berlaku kemalangan membabitkan enam kereta dan sebuah treler di mana terdapat empat mangsa tersepit.
“Empat mangsa yang tersepit melibatkan seorang lelaki dan tiga wanita. Anggota segera menjalankan operasi mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan menyelamat.
“Semua mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan di lokasi kejadian. Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.