Empat maut nahas dua kereta di lebuh raya PLUS dekat Pendang

Empat maut termasuk seorang rentung dalam nahas melibatkan kereta jenis Nissan Almera dan Proton Wira di KM58.2 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, dekat Pendang, awal pagi tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kedah Sayani Saidon berkata identiti lelaki yang memandu kereta Nissan Almera, yang rentung dalam kejadian pada kira-kira jam 2.20 pagi itu masih belum dikenal pasti, lapor Bernama.

Beliau berkata tiga lagi yang meninggal dunia di tempat kejadian terdiri daripada Mohammad Syafiq Kassim, 26 dan Shahrin Hafi Omar, 49, serta seorang wanita hanya dikenali sebagai Arni, 52, yang menaiki kereta Proton Wira.

“Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pendang dan BBP Jalan Raja telah dikerahkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.22 pagi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

“Kemalangan melibatkan dua kereta dan empat mangsa. Terdapat seorang mangsa di dalam kereta Nissan Almera yang terbakar 90 peratus dan tiga mangsa di dalam kereta Proton Wira yang terbalik,” tambahnya.

Sayani berkata kesemua mangsa dalam Proton Wira berjaya dikeluarkan antara jam 4.07 dan 4.52 pagi, manakala mangsa yang rentung di dalam kereta Nissan Almera pula berjaya dikeluarkan pada jam 5.43 pagi.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Pendang DSP Arriz Sham Hamezah berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada kira-kira pukul 2.30 pagi.

Menurutnya siasatan awal mendapati kereta Proton Wira yang dipandu seorang lelaki dipercayai hilang kawalan dan berpusing sebelum melanggar kereta Nissan Almera yang dipandu seorang lelaki.

Beliau berkata kereta Proton Wira itu kemudian telah terbabas dan melanggar penghadang jalan sebelum terbalik, manakala kereta Nissan Almera pula telah terbakar.

“Kesemua yang terlibat maut di tempat kejadian. Polis sedang mencari waris mangsa dan sesiapa yang kehilangan ahli keluarga boleh menghubungi Insp Muhammad Atiq Elias dengan menelefon 012-7778761 atau 04-7592122,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR