
Empat maut dalam nahas membabitkan empat kenderaan di Kilometer 135.7 Lebuhraya Pantai Timur 1 awal pagi tadi (27 Ogos 2022). - Gambar FB
Empat maut manakala 12 lagi cedera dalam kemalangan melibatkan empat kenderaan di Kilometer 135.7 Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) menghala ke Kuantan pada awal pagi tadi.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pahang Zulfadli Zakaria berkata kemalangan melibatkan sebuah lori kontena, Proton Exora, Proton Waja dan trak tunda.
Mereka yang maut ialah penumpang kereta Proton Exora Mohmed @ Mohamed Shamsuddin, 75, isterinya Kamariah Hamzah, 72, serta seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun dikenali sebagai Danis, serta pemandu trak tunda Mohd Azuan Zainal Abidin, 53.
“Bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 3.26 pagi. Kejadian dipercayai berlaku apabila lori kontena terbabas sebelum merempuh trak tunda yang sedang mengangkat Proton Exora yang rosak di tepi lebuh raya.
“Proton Waja itu pula difahamkan berada di tepi jalan yang sama. Kemalangan menyebabkan Proton Exora jatuh ke dalam gaung dianggarkan sedalam 40 kaki (12.19 meter),” katanya menurut Bernama.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Temerloh Asisten Komisioner Mohd Azhar Mohd Yusoff berkata kemalangan itu juga menyebabkan lapan lagi penumpang Proton Exora itu yang berusia antara dua hingga 30 tahun cedera.
Sementara itu, pemandu kereta Proton Waja yang berusia 36 tahun koma, manakala dua anak perempuannya berusia 11 dan lima tahun cedera ringan dan isterinya, 36, tidak mengalami kecederaan.
“Pemandu lori (kontena) berusia 56 tahun dan berasal dari Kedah, juga cedera ringan dalam kemalangan tersebut dan kini ditahan bagi membantu siasatan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Mohd Azhar berkata kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah lori kontena melanggar ketiga-tiga kenderaan terbabit (Proton Exora, Proton Waja dan trak tunda) yang berada di lorong kecemasan.
Siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang melihat kejadian diminta datang ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.