Empat kes seleweng dana, CBT RM1 juta Syed Saddiq bermula esok

June 20, 2022 · Isu semasa

Bekas Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akan ke Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur esok (21 Jun 2022) untuk perbicaraan berhubung penyelewengan dana dan pecah amanah jenayah (CBT) lebih RM1 juta.

Pada usia 29 tahun, wakil rakyat Muar itu adalah ahli Parlimen terbaharu menyertai kumpulan ahli politik yang berdepan pelbagai dakwaan rasuah rentetan huru-hara politik pada Februari 2020.

Bagaimana Syed Saddiq, yang menjadi menteri paling muda di Malaysia empat tahun lalu, yang menjadi harapan anak muda Malaysia menjadi tertuduh dalam kes itu, di mana dia akan berdepan empat pertuduhan?

Memetik laporan MalayMail, bagi dua pertuduhan pertama, Syed Saddiq pada Mac 2020, telah membuat laporan polis berhubung kecurian RM250,000 dari peti besi di rumahnya walaupun tiada tanda-tanda kemasukan paksa. Ia mendorong siasatan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menjelang Mei 2021, dia dipanggil oleh polis untuk disoal siasat berhubung kenyataannya yang dibuat dalam video berdurasi 45 saat yang dimuat naik sebulan sebelum itu pada 28 April, di mana beliau menuntut keadilan untuk A Ganapathy, seorang peniaga susu yang meninggal dunia pada Februari tahun sama semasa dalam tahanan polis.

Selepas dua jam disoal siasat, polis merampas telefon bimbit Syed Saddiq.

Dua bulan kemudian pada 22 Julai, Syed Saddiq dikenakan tuduhan rasuah pertamanya.

Ketika itu, masih sebagai Ketua Sayap Pemuda Bersatu, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan penolong bendahari parti Rafiq Hakim Razali dalam melakukan CBT dana sayap berkenaan berjumlah RM1 juta.

Syed Saddiq didakwa mengeluarkan RM1 juta melalui cek CIMB Bank Bhd tanpa mendapat kebenaran terlebih dahulu daripada Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.

Dia kemudian didakwa dengan pertuduhan kedua menyeleweng RM120,000 milik Armada Bumi Bersatu Enterprise di Maybank Islamic Berhad untuk kegunaannya sendiri, yang didakwa menyebabkan Rafiq melupuskan wang itu.

RM120,000 itu dilihat sebagai sumbangan politik untuk kempen PRU-14 yang dikumpul melalui akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise di Maybank Islamic Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya antara 8 dan 21 April 2018.

Bagi pertuduhan ini mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan, Syed Saddiq berdepan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Bagi tuduhan ketiga dan keempat pula, Syed Saddiq pada 5 Ogos 2021, dikenakan dua pertuduhan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

Dia didakwa terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu dua transaksi bernilai RM50,000 setiap satu daripada akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke dalam akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya yang dipercayai hasil daripada aktiviti haram.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling pada 16 Jun dan 19 Jun 2018. Pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1) (b) AMLA, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4 (1) Akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, Syed Saddiq boleh dipenjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah hasil daripada aktiviti haram itu.

Syed Saddiq menegaskan bahawa pertuduhan itu bermotifkan politik kerana dia tidak bersalah dan tidak melanggar mana-mana prosedur parti.

Dia kemudian meninggalkan Bersatu dan menubuhkan parti baharu, Malaysian United Democratic Alliance (MUDA) yang mula menyertai Pilihan Raya Negeri Johor Mac lalu dan menang satu kerusi Dewan Undangan Negeri.

Dia juga mendakwa bahawa pertuduhan terhadapnya dibuat ketika dia berada di bawah tekanan untuk menyokong kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin sejurus sebelum pembentangan Bajet 2021.

Syed Saddiq diwakili peguam Gobind Singh Deo, yang juga Ahli Parlimen Puchong dan daripada DAP.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin bertanggungjawab ke atas pendakwaan.

Mahkamah Tinggi sebelum ini menetapkan 22 hari untuk perbicaraan yang sepatutnya bermula pada 7 Jun.

Berita berkaitan
Bersatu akan tanding di Terengganu, Kelantan kata PAS
June 3, 2023· Politik
Tun M, Muhyiddin kembali jalin kerjasama, PAS lihat kelebihan pada PRN
June 3, 2023· Politik
Muhyiddin sedia kerjasama semula dengan Tun M
June 2, 2023· Politik
Bersatu akan bertanding lawan kerusi UMNO pada PRN Kelantan: Mohd Amar
June 1, 2023· Politik
Popular
Terima ugutan sindiket along, Ketua Polis Pulau Pinang tak akan tunduk
June 3, 2023
Wanita cemas kereta terperangkap dalam banjir kilat di Klang
June 4, 2023
China mungkin tidak benarkan Jho Low balik Malaysia, kata Justo
June 4, 2023
Dakwaan P.Pinang milik Kedah, tak perlu takut kata Samsuri
June 3, 2023
Lagi Isu semasa terkini
Ekstradisi Jho Low rumit, mencabar : MCW
2 jam lalu · Isu semasa
China mungkin tidak benarkan Jho Low balik Malaysia, kata Justo
6 jam lalu · Isu semasa
Suri rumah hangus RM110,556 terperdaya sindiket penipuan
8 jam lalu · Isu semasa
Wanita cemas kereta terperangkap dalam banjir kilat di Klang
8 jam lalu · Isu semasa
Terima ugutan sindiket along, Ketua Polis Pulau Pinang tak akan tunduk
23 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Ucapan Sanusi di himpunan jentera PB Best Pulau Pinang
15 jam lalu
[VIDEO] Ucapan Dominic di himpunan jentera PN Pulau Pinang
16 jam lalu

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok