Empat hari berturut-turut pemberian vaksin rekod angka lebih 300,000

Data 8 Julai 2021

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bukan sahaja merekodkan pemberian vaksin harian tertinggi semalam, tetapi juga mencatatkan hari keempat berturut-turut melepasi angka 300,000 dos sehari.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata pada 5 Julai lalu negara mencatatkan pemberian dos harian sebanyak 313,761 dos; 6 Julai (340,043 dos); 7 Julai (375,842 dos); dan 8 Julai (376,909 dos).

Peningkatan kapasiti harian itu juga membolehkan Malaysia mencatatkan pemberian lebih 1.4 juta dos vaksin hanya dalam tempoh empat hari.

Beliau berkata dengan peningkatan itu, Malaysia kini mencatatkan rekod pemberian sebanyak 10,413,270 juta dos vaksin sejak PICK bermula pada 24 Februari lalu.

Daripada jumlah itu, katanya, kira-kira 13.6 peratus daripada hampir 23.4 juta populasi dewasa di negara ini sudah menerima dua suntikan lengkap vaksin, manakala 7,222,481 juta individu atau 30.9 peratus sudah menerima dos pertama setakat semalam.

“Jumlah pemberian vaksin Covid-19 setakat semalam berjumlah 10,413,270 dos. Bagi tempoh 24 jam lalu, sebanyak 376,909 dos diberikan semalam, iaitu yang tertinggi setakat ini,” katanya menerusi Twitter, hari ini.

Data Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) menunjukkan Putrajaya mendahului kadar pemberian dos lengkap vaksin, berbanding jumlah penduduk dengan 31,580 individu atau 28.7 peratus.

Labuan pula merekodkan dengan 22,444 individu menerima dos lengkap vaksin atau 22.5 peratus daripada jumlah penduduk, Perlis (50,236 atau 19.7 peratus), Kuala Lumpur (306,469/17.3 peratus), Sarawak (443,987/15.8 peratus), Negeri Sembilan (124,506/11 peratus) dan Perak (250,922/10 peratus).

Kelantan (181,103/9.5 peratus), Pahang (162,693/9.7 peratus), Terengganu (111,661/8.9 peratus), Kedah (209,999/9.6 peratus), Melaka (85,751/9.2 peratus), Johor (326,207/8.6 peratus), Pulau Pinang 161,469/9.1 peratus), Sabah (275,179 /7.0 peratus) dan Selangor 446,583 (6.8 peratus).

POPULAR