Empat daerah di Pahang bakal banjir, air sungai dijangka melimpah

Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang memberi amaran empat daerah bakal berdepan banjir besar jika air di hulu Sungai Pahang melimpah dalam masa terdekat.

Empat daerah berkenaan melibatkan Temerloh, Bera, Maran dan Pekan, dijangka menerima limpahan air hulu Sungai Pahang.

Sehubungan itu, Pengarah APM Pahang, Che Adam A Rahman menasihatkan penduduk yang tinggal di kawasan rendah dan berhampiran sungai supaya bersiap sedia menghadapi bencana itu.

Menurutnya APM telah meletakkan anggotanya dalam keadaan bersiap sedia kerana limpahan air dari hulu sungai akan berlaku.

“APM telah memaklumkan lebih awal risiko keadaan itu kepada semua penduduk dan komuniti di kawasan terlibat.

“Jika limpahan air sungai turun ke Pekan, sebahagian penduduk yang berhampiran dengan sungai, kawasan lembah dan sebagainya, mereka telah pun bersedia untuk dipindahkan bila-bila masa diperlukan,” katanya.

Che Adam berkata, walaupun Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan dalam tempoh sehingga Sabtu ini tiada hujan lebat yang boleh membawa kepada banjir, tetapi limpahan air dari hulu Sungai Pahang ke hilir tetap berlaku.

Pada masa sama, beliau meminta mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ingin menghulurkan bantuan supaya merujuk kepada pihak penyelarasan bagi mengelak risiko pembaziran sumber manusia.

“Kita tak mahu berlaku seperti tahun 2013, 2014 dulu. Semua pergi satu tempat dan menyebabkan pembaziran dari segi sumber manusia,” katanya.

Beliau turut menasihati NGO supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard ketika melakukan kerja menyelamat pasca banjir.

BERITA BERKAIT
POPULAR