Empat beranak maut Vellfire dirempuh pemandu 4×4 positif dadah

Kegembiraan lima beranak untuk menghadiri kenduri kahwin berakhir tragedi selepas empat daripada mereka maut apabila kenderaan dinaiki dirempuh sebuah pacuan empat roda yang dipercayai melanggar lampu merah di Kilometer 2 Jalan Lebu-Mempaga, Bentong, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang Superintendan Kamarulzaman Jusoh berkata kejadian pada 3.10 petang itu menyebabkan semua mangsa yang menaiki Toyota Vellfire maut di tempat kejadian, lapor Bernama.

Mereka ialah suri rumah Raihan Mohamad, 43, yang duduk di bahagian penumpang hadapan dan tiga anaknya Ahda Dalili Mohd Nazri, 14; Ahmad Muaz, tujuh tahun; dan Ahda Imtinan, empat tahun manakala suami Raihan, Mohd Nazri Hamid, 43, seorang guru cedera di tangan kiri.

“Mereka dipercayai dalam perjalanan dari rumah di Kuarters Guru Felda Aring 1 di Gua Musang, Kelantan menuju ke Kuala Lumpur dan apabila sampai di tempat kejadian, kenderaan mangsa dipercayai telah membelok masuk ke simpang kanan selepas lampu isyarat bertukar hijau.

“Bagaimanapun, sebuah kenderaan pacuan empat roda Nissan Navara yang dipercayai melanggar lampu isyarat merah tiba-tiba datang dari arah hadapan lalu merempuh kenderaan mangsa, menyebabkan Toyota Vellfire itu berpusing dan melanggar besi pembahagi jalan,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Kamarulzaman berkata impak kemalangan menyebabkan kenderaan mangsa remuk teruk di bahagian hadapan dan sebelah kiri manakala pacuan empat roda itu rosak di bahagian hadapan.

Pemandu Nissan Navara yang berusia 43 tahun dari Karak, Bentong pula cedera di kepala dan dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) di Temerloh untuk rawatan.

Ujian awal saringan air kencingnya di Hospital Bentong mendapati pemandu Nissan Navara itu positif dadah.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Bentong untuk bedah siasat selepas keputusan ujian saringan Covid-19 diperoleh dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

BERITA BERKAIT
POPULAR