
Empat beranak maut setelah motosikal dinaiki dirempuh lori membawa pasir di Kota Tinggi, Johor, petang tadi (30 Ogos 2022).
Empat beranak maut setelah motosikal dinaiki mereka dipercayai dirempuh sebuah lori yang membawa muatan pasir dalam nahas ngeri di Kampung Semanggar di Kota Tinggi, Johor, petang tadi (30 Ogos 2022).
Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, mangsa yang maut ialah penunggang motosikal, Mohamad Suti Yahaya, 39, dan isterinya, Siti Jamaliah Mohd Yatim, 27.
Dua anak pasangan itu, Nur Firman Hadi Abdul Rahman, 4, dan Nurfatihah Jannah berusia 7 bulan maut di lokasi kejadian akibat cedera parah, lapor Kosmo.
Difahamkan, semua mangsa dalam menaiki motosikal jenis Yamaha 135LC dalam perjalanan pulang ke rumah mereka yang terletak di Kampung Mawai di Kota Tinggi.
Menurut ibu Siti Jamaliah, Rosni Sintingan, 53, dia mendapat maklumat kejadian itu kira-kira jam 3 petang selepas anak buahnya terlihat gambar kemalangan yang menimpa anak cucunya itu di Facebook sebelum ada orang lain yang menghubunginya.
Katanya, dia juga sempat ke lokasi kejadian namun ketika itu tidak sempat menemui anaknya kerana telah dibawa menaiki kenderaan polis bersama cucunya Nurfatihah Jannah.
“Semasa saya sampai saya dapat lihat menantu dan anak lelakinya sahaja yang masih terbaring di lokasi. Saya tidak tahu mereka pergi ke mana tetapi kalau cuti memang mereka akan berjalan anak beranak mungkin ke pekan Anggerik, Bandar Tenggara atau ke Felda Pasir Raja berjumpa rakannya.
“Mereka anak beranak memang akan menaiki motosikal ke mana sahaja kerana itu sahaja kenderaan yang mereka ada. Sebelum ini mereka pernah juga terlibat kemalangan namun hanya cedera.
“Kami sekeluarga puas juga nasihat suruh mereka beli kereta namun katanya tak apa naik motosikal. Kami hanya kesian pada anak dan isterinya sahaja. Tak sangka perkara yang kami bimbangkan berlaku hari ini,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi hari ini.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora ketika dihubungi mengesahkan kemalangan tersebut dan masih dalam siasatan pihak polis.