
Sidang Dewan Rakyat.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan terdapat pengurangan elaun pembangunan Ahli Parlimen daripada RM3.8 juta kepada RM1.3 juta.
Terdahulu semalam, media pro-kerajaan Malaysiakini melaporkan beberapa wakil rakyat daripada kerajaan kecewa susulan pemotongan elaun pembangunan tersebut kerana ia bakal menyebabkan mereka sukar untuk menolong orang ramai di kawasan.
Dalam laporan tersebut, Malayskini tanpa menamakan sumber daripada seorang Ahli Parlimen PH memberitahu ramai “menangis” selepas menerima notis daripada ICU kerana jumlah peruntukan tersebut adalah jauh lebih rendah berbanding sebelum mereka menjadi kerajaan.
“(Ini menyebabkan kami) kesukaran untuk memenuhi permintaan setiap NGO, dan kami perlu sangat selektif dalam aktiviti yang kami mahu sokong,” menurut laporan itu.
Anwar berkata pengurangan elaun itu bertujuan untuk mengawal kewangan negara dan akan dilaksanakan secara berperingkat.
“Elaun tersebut merupakan peruntukan pembangunan Ahli Parlimen, selaras dengan Pejabat Daerah dan Tanah serta Pegawai Pembangunan Negeri disebabkan kekangan ekonomi.
“Biarlah dibuat secara berperingkat… dana untuk Ahli Parlimen yang terlibat…ini memberikan contoh awal…maknanya kalau Ahli Parlimen sanggup kurangkan (elaun) walaupun ia bukan sumbangan peribadi, tetapi ia sumbangan pembangunan yang diselaraskan Ahli Parlimen dan Pejabat Daerah dan Tanah,” katanya dipetik laporan Bernama.
Bagaimanapun kerajaan akan mempertimbangkan bagi menyalurkan peruntukan tambahan sekiranya terdapat keperluan mendesak di kawasan Parlimen, seperti membaik pulih infrastruktur di kawasan
Media sebelum ini melaporkan bahawa peruntukan kawasan untuk MP penyokong kerajaan tahun ini telah dikurangkan lebih 65 peratus iaitu daripada RM3.8 juta kepada RM1.3 juta. Jumlah itu terdiri daripada geran langsung RM1 juta dan RM300,000 lagi untuk operasi pusat khidmat mereka.
Terdahulu Perdana Menteri meluangkan masa menyantuni rakyat di Negeri Sembilan dan menjamu selera rojak dan nasi goreng cina di Warung Pak Salleh di sini.
Turut mengiringi beliau Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.
TAG: Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, Ahli Parlimen, pengurangan, Port Dickson