Elak penyakit semasa melancong

Sektor pelancongan antara sektor paling terkesan sejak penularan Covid-19 merebak di Malaysia. Bagaimanapun, kerajaan tidak lagi mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mahupun menyekat pergerakan ke daerah atau negeri, cuma sempadan negara masih ditutup.

Baru-baru ini, sektor pelancongan seperti mendapat suntikan baharu apabila kerajaan membuka sempadan negara bagi tujuan pelancongan ke negara-negara tertentu.

Ini kerana sekatan pergerakan rakyat ke luar negara boleh dilonggarkan susulan ramai yang telah melengkapkan vaksinasi satu dan dua dos termasuk pengambilan dos penggalak.

Walaupun menyedari industri pelancongan telah mengalami kerugian teruk sejak penularan Covid-19 dua tahun lalu, namun keputusan sama ada sempadan negara boleh dibuka atau tidak masih bergantung kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Selain Covid-19, bergantung kepada jenis pengangkutan, kesihatan pelancong, gaya hidup yang diingini dan epidemiologi penyakit berjangkit di negara destinasi, melancong di luar negara mendedahkan pelancong kepada risiko kesihatan yang lain.

Bukan sahaja pelancong mudah dijangkiti penyakit berkaitan melancong, tetapi pelancong mungkin menjadi pembawa bagi penyakit tersebut, seterusnya mendedahkan masyarakat sekeliling kepada risiko jangkitan.

Penyakit berkaitan melancong yang umum termasuklah hepatitis, demam kepialu dan influenza yang boleh disebarkan melalui makanan serta minuman tercemar, amalan seksual yang tidak selamat atau melalui pemindahan titisan semasa batuk, bersin atau bercakap .

Pelancong dari negara maju yang tidak dilindungi telah merekodkan kadar insiden bulanan jangkitan hepatitis A di antara 300 hingga 2,000 bagi 100,000 pelancong apabila melawat negara membangun.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut melaporkan hampir dua bilion orang di dunia telah dijangkiti virus hepatitis B dan hampir 350 juta hidup dengan jangkitan kronik akibat virus ini. Tambahan pula, 600,000 orang meninggal dunia setiap tahun akibat daripada hepatitis B akut atau kronik .

Berdasarkan penemuan ini, cara terbaik untuk meminimumkan dan mencegah akibat-akibat tersebut adalah dengan mendapat perlindungan daripada awal dalam bentuk vaksinasi.

Kepentingan membuat rancangan untuk kesihatan sebelum melancong bagi membolehkan masa mencukupi supaya jadual imunisasi boleh dilengkapi. Masa yang disyorkan untuk menemui doktor anda adalah sekurang-kurangnya empat hingga lapan minggu sebelum melancong. Namun, tidaklah terlambat untuk menemui doktor anda walaupun anda mempunyai masa kurang daripada empat minggu sebelum bertolak.

Secara ringkas, perancangan, kaedah pencegahan dan langkah berjaga-jaga yang sesuai boleh melindungi kesihatan seseorang dan meminimumkan risiko mendapat penyakit berjangkit semasa melancong.

BERITA BERKAIT
POPULAR