Elak penyakit bawaan air ketika banjir

Banjir memberi kesan jangka pendek dan jangka panjang kepada penduduk. Antara beberapa kesan jangka pendek termasuklah kematian, lemas, kecederaan, pendedahan terhadap toksik dan penyakit berjangkit, terutamanya yang melibatkan penyakit bawaan air seperti kepialu, hepatitis, leptospirosis, taun dan keracunan makanan.

Kesan jangka panjang pula seperti gangguan stres selepas trauma (PTSD), penyakit tidak berjangkit, kekurangan zat makanan, kebimbangan dan kemurungan. Kekurangan bekalan air bersih juga mengakibatkan peningkatan penyakit bawaan air, menambahkan lagi beban pada sistem penjagaan kesihatan yang sudah terjejas semasa wabak itu.

Kajian juga mendapati seseorang mangsa yang mengalami bencana akan merasai kesan bencana itu dalam tempoh sehingga sembilan bulan selepas bencana dan berkemungkinan akan membawa kepada masalah kesihatan mental jika ia tidak diuruskan dengan baik.

Malah, ketika banjir, sebilangan besar mangsa ditempatkan di pusat pemindahan sementara yang menyebabkan pusat itu menjadi sesak dan memberi cabaran yang besar terhadap kawalan prosedur operasi standard (SOP) dan pencegahan penyakit, seperti penjarakan sosial dan kuarantin. Selain itu, risiko jangkitan Covid-19 meningkat apabila mangsa yang dipindahkan terpaksa berkongsi kemudahan yang terhad.

Salah satu kesan yang tidak disedari mangsa banjir ialah  kesejukan kerana terendam lebih lapan jam dalam air banjir berisiko meninggal dunia.

Pakar Kesihatan Awam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, mangsa banjir terutama warga emas dan kanak-kanak perlu segera diselamatkan kerana mereka golongan berisiko.

Selain itu, Dr Sharifa Ezat berkata, perkara lain yang membimbangkan ketika bencana banjir ialah kemungkinan air banjir tercemar kerana bercampur air kumbahan, najis manusia dan najis haiwan.

Jelasnya, kuman dan bakteria daripada air kumbahan juga najis manusia boleh menyebabkan penyakit bawaan air seperti kolera, tifoid, hepatitis A, disentri serta keracunan makanan.

“Mereka yang dijangkiti boleh mengalami gejala seperti cirit-birit, sakit perut, sakit kepala, lesu terlampau, kering mulut dan badan, muntah, loya serta cirit-birit berdarah.

“Keadaan ini sangat berbahaya kepada bayi, kanak-kanak dan warga emas,” katanya.

Dr Sharifa Ezat berkata, manakala bakteria leptospira daripada najis tikus yang mencemari air banjir boleh mengakibatkan jangkitan leptospirosis (demam kencing tikus) yang boleh mengancam nyawa.

“Semasa banjir, banyak sampah sarap terapung dan menjadi bertimbun-timbun selepas banjir surut.

“Sampah sarap ini boleh menjadi tempat pembiakan tikus dan mencemarkan kawasan itu dengan najis serta air kencingnya.

“Oleh itu, perlulah ada tempat pelupusan sampah khas untuk membuang sisa makanan. Ini bagi mengelakkan haiwan itu datang berkeliaran di kawasan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya mangsa banjir mengalami gejala seperti demam, ruam, sakit kepala, muntah, sakit badan atau sendi, sakit perut dan jaundis, mereka hendaklah segera mendapatkan rawatan di hospital berhampiran.

Menurutnya, takungan air banjir boleh menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes dan menyebabkan penularan wabak denggi di kawasan sekitarnya.

“Penyakit ini perlu dielak selain mengelakkan gigitan nyamuk aedes, hendaklah juga memakai baju lengan panjang, kelambu, menggunakan ubat nyamuk dan menjaga kebersihan persekitaran supaya tiada sampah yang boleh menakung air menjadi tempat pembiakan nyamuk,” katanya.

Kata Dr Sharifa Ezat, antara langkah keselamatan dan kesihatan yang perlu dilakukan oleh mangsa banjir ialah mendapatkan rehat secukupnya termasuk tidur.

BERITA BERKAIT
POPULAR