Elak ‘microsleep’ ketika memandu

Minggu ini ramai perantau yang akan memandu pulang ke kampung halaman untuk menyambut berhari raya bersama keluarga.

Sebagai pemandu, mereka perlu pastikan diri cukup rehat mental dan fizikal, lebih-lebih lagi buat mereka yang bakal menghadapi perjalanan jarak jauh bagi mengelakkan kejadian terlelap semasa memandu atau ‘microsleep’.

Pakar Bedah Telinga, Hidung, Tekak, Dengkur dan Tidur, Hospital Pakar Antarabangsa Beacon, Dr. Raymond Tan, berkata microsleep terjadi tanpa amaran dan antara penyebab sering berlakunya kemalangan di jalan raya kerana apabila badan keletihan, otak akan ‘tertidur’ selama beberapa saat, walaupun mata anda terbuka dan tangan memegang stereng.

“Kebanyakan mereka yang mengalami microsleep tidak sedar mereka tertidur. Sebenarnya ia terjadi berulang kali dalam beberapa minit atau sejam. Apabila terjaga, kenderaan individu berkenaan tiba-tiba sahaja sudah terbabas, masuk parit atau terlanggar kereta di hadapan.

“Antara simptom seseorang itu mungkin bakal menjadi mangsa microsleep ialah lambat bertindak balas terhadap sebarang maklumat, pandangan kosong, mata berkelip lebih kerap, menguap berlebihan dan tersentak tiba-tiba,” katanya.

Tambah Dr. Raymond, kebiasaannya individu yang menjadi mangsa microsleep itu merasakan beliau masih memandu sedangkan beliau sudah ‘shut down’ dan ini boleh berlaku ketika mata masih terbuka.

“Selalunya kejadian ini berlaku ketika seseorang memandu waktu puncak mengantuk antara jam 3.00 hingga 5.00 pagi dan antara 2.00 hingga 4.00 petang.

“Lazimnya potensi menjadi mangsa microsleep adalah apabila memandu jarak jauh. Selain itu, terdapat faktor lain seperti waktu pemanduan, keadaan kesihatan dan kecergasan pemandu, bentuk dan permukaan jalan raya serta keadaan cuaca boleh menyebabkan mengantuk,” ujarnya.

Jadi, jangan paksa diri untuk terus memandu atau bekerja dalam keadaan badan letih dan mata mengantuk. Berhentilah di mana-mana tempat selamat dan lelapkan mata sebentar. Lima minit pun cukup atau berhenti setiap dua atau tiga jam jika pemanduan jarak jauh.

Selain itu, terdapat beberapa rawatan mudah boleh diamalkan oleh si pemandu. Antaranya, pemandu perlu mendapatkan tidur yang mencukupi dan berkualiti (tujuh hingga sembilan jam) sebelum memulakan perjalanan yang panjang.

“Jika anda terpaksa memandu, anda boleh minum dua cawan kopi dan meneruskan perjalanan. Pun begitu, sebaik-baiknya, anda mendapatkan rehat yang cukup dan mengelakkan pergantungan kepada kafein,” ujarnya.

TIPS

  • Jangan memandu jika mengantuk.
  • Bertukar pemandu jika boleh.
  • Dengar radio.
  • Rehat yang cukup sebelum memulakan perjalanan.
  • Berhenti seketika untuk tidur 20 minit.
  • Tubuh badan digerakkan
  • Mengambil vitamin atau kafein.

BERITA BERKAIT
POPULAR