Elak derita dalam senyap menopaus, wanita jangan rasa tertekan

BERAT badan meningkat, kulit kering, muka sembab, rambut rapuh dan gugur, kerap letih, mengantuk, pergerakan dan tindak balas menjadi perlahan.

Simptom-simptom ini sering dianggap sebagai perkara semula jadi dalam proses penuaan, terutama bagi wanita yang memasuki era 40-an.

Presiden Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO), Prof. Emerita Tan Sri Dr. Sharifah Habsah Syed Hasan Shahabudin berkata, hampir tiga perempat wanita mengalami gejala menopaus seperti rasa panas melampau dan mendadak, perubahan mood dan masalah tidur yang boleh merosakkan kualiti hidup mereka.

Katanya, terdapat 34 gejala biasa yang mungkin dialami wanita semasa menopaus tetapi hanya tujuh peratus wanita mendapat rawatan yang mereka perlukan.

“Hanya 20 peratus daripada 2.3 juta wanita Malaysia mendapatkan nasihat penjagaan kesihatan profesional tentang cara mengendali simptom menopaus pada 2019.

“Ini bererti 60 peratus wanita negara ini mungkin mengalami ‘derita dalam senyap’, sedangkan kualiti kehidupan mereka boleh dipertingkatkan menerusi bantuan sewajarnya daripada profesional,” katanya.

Purata usia wanita mengalami menopaus ialah antara 50 hingga 51 tahun dan wanita dijangka hidup selama 25 tahun seterusnya selepas mereka mengalami menopaus.

Ini bererti satu pertiga dari seluruh kehidupan mereka pada tempoh peri menopaus dan pascamenopaus.

“Ramai wanita memahami dan menyedari bahawa menopaus adalah sebahagian proses semula jadi penuaan. Namun, kesedaran mungkin masih kurang berkaitan dengan ketersediaan bantuan dan rawatan yang dapat menolong mereka melalui menopaus dengan lebih selesa.

“Jurang kesedaran tentang bantuan, nasihat dan sokongan merupakan cabaran yang menghalang wanita untuk meminta sokongan. Oleh itu, wanita memilih untuk menderita dalam diam,” katanya

Justeru Dr. Sharifah Habsah berkata, menopaus tidak harus menjadi pengalaman yang membe­bankan dalam hidup wanita dan wanita tidak harus melaluinya seorang diri.

“Dalam hal ini, ahli kelu­arga terutamanya suami atau pasangan seorang wanita memahami simptom-simptom dan kesannya untuk bantu mereka melalui perubahan ini bersama-sama.

“Perubahan gaya hidup dalam diet dan senaman, menjaga berat badan yang ideal, bersikap proaktif untuk melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala, seperti mamogram dan pemeriksaan ketumpatan tulang dapat membantu meringankan perubahan ke era pasca-menopaus,” katanya.

Dr. Sharifah Habsah turut menggalakkan wanita menyertai kumpulan berkaitan menopaus bagi membolehkan mereka melalui fasa tersebut bersama-sama secara positif dan gembira.

POPULAR