Elak boros sambut Aidilfitri

Saban tahun, orang ramai akan berbelanja sakan membeli pelbagai barangan seperti pakaian dan langsir baharu, menukar peralatan atau perabot rumah terutama ketika membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Tambahan pula, kemeriahan Syawal tahun ini pastinya amat dirindui selepas lebih dua tahun tidak dapat meraikannya berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan Covid-19.

Dalam pada itu, pelaksanaan Fasa Peralihan ke Endemik bermula 1 April lalu dengan banyak kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) termasuk pemansuhan had waktu beroperasi bagi premis perniagaan (masing-masing mengikut syarat lesen operasi premis) membolehkan orang ramai lebih bebas melakukan aktiviti membeli-belah.

Antara lokasi wajib dikunjungi bagi kebanyakan warga kota metropolitan ini sudah tentunya Jalan Tuanku Abdul Rahman atau lebih dikenali dengan nama Jalan TAR. Malah lokasi ini juga menjadi pilihan orang dari luar Kuala Lumpur untuk membeli pelbagai keperluan Aidilfitri dan suasana meriah ini sudah dapat dilihat sejak awal Ramadan lagi.

Tidak kurang juga lokasi tumpuan lain iaitu di Selangor untuk persiapan hari raya antaranya Bandar Baru Bangi dan Shah Alam sehingga jalan menuju ke Bangi Sentral dan Pusat Komersial Seksyen 7 Shah Alam sesak pada hujung minggu.

Pun begitu, membeli baju baru bukanlah sesuatu yang wajib kerana kita boleh menjadikan yang lama nampak baharu.

Menurut laman Get Set Clean, ada beberapa tip boleh dilakukan bagi menaikkan semula seri baju lama yang kusam. Antaranya, cuci pakaian dengan menterbalikkannya dan masukkan secawan cuka ke dalam cucian. Bolehlah kita cuba.

Mungkin ada sesetengah orang yang langsung tidak mempedulikan penampilan pada hari raya dengan merasakan ia sama saja dengan hari-hari biasa, ketahuilah itu sebenarnya satu tanggapan yang salah.

Berpakaian bagus dan berhias pada hari raya bukan sekadar tradisi, bahkan suatu yang digalakkan. Rasulullah SAW menganjurkan umat Islam mengenakan pakaian terbaik yang dimiliki pada hari raya.

Sementara itu, Pensyarah Jabatan Ekonomi, Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Shazida Jan Mohd Khan, berkata dalam situasi ketika negara kembali kepada fasa endemik seharusnya banyak yang perlu diambil kira termasuk merancang perbelanjaan secara berhemat.

“Dalam fasa endemik, semua perkara tidak pasti. Masyarakat bijak merancang apa yang perlu dan apa yang tidak perlu.

“Walaupun raya, semua orang mahukan sesuatu yang baharu, namun perlu dilihat keperluan secara keseluruhan bagi memastikan kelangsungan hidup pada bulan-bulan berikutannya tiada masalah.

“Justeru, ketua isi rumah khususnya perlu merancang setiap aliran tunai keluar masuk agar pengurusan kewangan dapat dikawal bagi mengelak masalah seperti hutang lama belum lagi terlunas, kini wujud pula hutang baharu.

“Situasi pandemik memberikan impak yang begitu besar terhadap ekonomi rakyat termasuk ramai kehilangan pekerjaan sehingga ada tidak sempat membuat perancangan, selain wang simpanan juga menyusut.

“Justeru, pada Ramadan dan Aidilfitri ini berpada-pada dalam berbelanja. Elakkan perkara yang tidak supaya tidak berdepan dengan masalah baharu.

“Rancang perbelanjaan jika ke bazar Ramadan umpamanya tidak perlu beli berlebih-lebihan.

Begitu juga kelengkapan raya, tidak perlu terlalu mengikut trend, sebaliknya berbelanja mengikut kemampuan,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR