
Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA).
Laporan Moody’s Investor Service yang menunjukkan kedudukan ekonomi Malaysia sekarang ini dalam keadaan stabil membuktikan negara berada di landasan pemulihanyang tepat.
Sehubungan itu, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata kerajaan terus mengekalkan dasar ekonomi dan fiskal yang efektif dan berhemat.
“Laporan Moody’s menunjukkan ekonomi Malaysia stabil berdasarkan kepelbagaian daya saing, skala ekonomi yang berdaya saing sederhana besar, sumber semula jadi yang mencukupi dan prospek pertumbuhan jangka sederhana yang kukuh,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) Ke-56, yang dikeluarkan hari ini.
Katanya, kerajaan akan berusaha melakukan yang terbaik bagi membendung penularan pandemik Covid-19 dan memastikan proses pemulihan ekonomi dapat diteruskan.
Sambil mengingatkan orang ramai juga boleh memainkan peranan masing-masing dengan memastikan diri mereka divaksin melalui aplikasi MySejahtera, Tengku Zafrul berkata langkah itu mampu melonjakkan ekonomi negara.
“Ini penting untuk memastikan ekonomi kita mampu pulih dan kembali berkembang mulai separuh kedua tahun ini,” katanya.
Setakat ini, Malaysia sudah memberi lebih tiga juta dos vaksin Covid-19, termasuk lebih dua juta penerima memperoleh suntikan pertama.
Dalam laporan itu beliau memaklumkan sehingga 28 Mei lalu kerajaan meluluskan RM12.06 bilion pinjaman mudah perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang dikendalikan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) yang memberi manfaat kepada 25,605 PKS.
Bagi Geran Khas Prihatin (GKP), beliau berkata secara keseluruhannya, jumlah peruntukan yang telah dan akan disalurkan kepada hampir satu juta PKS sejak Covid-19 melanda negara adalah sebanyak RM5.1 bilion.
“Kerajaan berharap bantuan ini dapat meringankan beban mereka terutamanya mereka yang amat terkesan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh,” katanya.
Di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA), kerajaan telah memutuskan pemberian GKP 3.0 sebanyak RM1,000 kepada lebih satu juta peniaga mikro untuk memastikan kelangsungan perniagaan mereka, khususnya dalam menguruskan aliran tunai masing-masing.