Ekonomi dijangka tumbuh semula pada separuh kedua 2021

May 7, 2021 · Isu semasa

Pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka meningkat semula pada separuh kedua tahun ini susulan impak pengembangan strategi fiskal dan monetari, demikian menurut Public Investment Bank Bhd.

Memetik laporan Bernama, bank pelaburan itu berkata, sentimen keseluruhan akan dipacu oleh usaha vaksinasi yang giat dijalankan dan membolehkan negara mencapai sasaran imuniti berkelompok menjelang akhir tahun ini.

“Usaha itu boleh mendorong pemulihan dalam sektor-sektor sensitif seperti pelancongan dan perkhidmatan selain menjana pengeluaran berterusan bagi sektor utama iaitu pembuatan, pembinaan dan pertanian berikutan keputusan membenarkan operasi dikekalkan,” katanya dalam nota penyelidikan pada Jumaat.

Sebanyak enam program rangsangan fiskal Covid-19 yang diperkenalkan oleh kerajaan dengan nilai melebihi 20 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) atau RM340 bilion, akan turut mendorong peningkatan ketara output, sekali gus berpotensi mendorong ekonomi ke tahap sebelum krisis.

Public Investment Bank berkata, pertumbuhan ekonomi akan turut disokong oleh persekitaran kadar faedah akomodatif ketika pemulihan inflasi yang dipacu oleh lebih banyak faktor pendorong kos, terutama minyak.

Pada Khamis, BNM menerusi Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 1.75 peratus — keputusan yang sejajar dengan jangkaan bank serta pasaran.

OPR juga telah dibiarkan stabil sejak September 2020 yang didorong oleh faktor seperti enam pakej rangsangan fiskal Covid-19 yang dilaksanakan sepenuhnya pada tahun ini serta dijangka memberi limpahan impak positif ke atas ekonomi.

Menurut Public Investment Bank, pemacu pertumbuhan lain berkemungkinan menerusi pewujudan sekurang-kurangnya 500,000 pekerjaan melalui inisiatif swasta-awam yang dapat melonjakkan pendapatan serta perbelanjaan.

“Strategi bank pusat yang berteraskan data susulan impak rangsangan perbelanjaan dan persekitaran kadar faedah akomodatif, dijangka menyaksikan OPR kekal stabil dalam separuh pertama tahun ini,” katanya.

Bagaimanapun, bank pelaburan itu mengingatkan bahawa risiko penurunan berkemungkinan disebabkan oleh cabaran usaha vaksinasi berikutan hanya kira-kira 30 peratus rakyat yang mendapatkan suntikan berkenaan setakat ini.

“Selain itu, rundingan dagangan akan datang Amerika Syarikat-China juga menjadi antara kebimbangan kerana melibatkan tempoh lebih lama berikutan penangguhannya,” katanya.

Sementara itu, AmBank Research berkata OPR dijangka kekal pada paras semasa sepanjang 2021 walaupun terdapat kemungkinan sebanyak 10-20 peratus untuk semakan naik melibatkan 25 mata asas pada separuh kedua tahun ini.

“Pada masa ini, tiada sebarang keperluan mendesak untuk BNM mengubah kadar sedia ada. Petunjuk ekonomi juga memaparkan momentum prestasi ekonomi yang bertambah baik,” katanya.

Menurutnya, walaupun inflasi dijangka meningkat pada suku kedua 2021, ia akan kembali stabil pada tempoh selepas itu.

“Kenaikan ini terutamanya disumbangkan oleh aspek kos. Inflasi diunjur sekitar 3.0 peratus-3.5 peratus dengan KDNK bagi 2021 dijangka sekitar 6.0 peratus dengan penurunan pada 5.0 peratus dan meningkat pada 7.0 peratus,” katanya.

Sementara itu, Moody’s Analytics pula berkata di sebalik pelaksanaan program vaksinasi itu, masih terdapat risiko penurunan susulan ancaman penularan baharu Covid-19 dan pelaksanaan semula sekatan pergerakan lebih meluas yang boleh menjejaskan usaha pemulihan ekonomi Malaysia.

“Keengganan menerima vaksin itu jika tidak ditangani dengan sewajarnya, boleh menjejaskan keyakinan serta imuniti berkelompok yang disasarkan,” katanya dalam nota penyelidikan.

Malah, katanya, lonjakan hasil Perbendaharaan AS baru-baru ini juga memberi kesan berganda ke atas ekonomi negara sedang pesat membangun, termasuk Malaysia.

Menurutnya, peningkatan hasil bon berkenaan boleh mencetuskan jualan besar-besaran di pasaran sedang pesat membangun selain menjejaskan kestabilan kewangan Malaysia.

“Atas faktor ini, ruang bagi perubahan dasar monetari adalah terhad. BNM perlu mengambil kira risiko ketidakstabilan kwangan serta pemulihan ekonomi yang tidak lancar.

“Oleh itu, bank pusat itu dijangka mengekalkan pendirian akomodatif itu sehingga akhir tahun ini dan pada masa sama mungkin beralih kepada pendekatan bersasar lain untuk merancakkan ekonomi,” katanya.

Berita berkaitan
Sekarang rakyat cakap balik kepada Tambun, ‘Hang yang tak reti jaga negeri’
March 5, 2024· Politik
Kerajaan sedar tak rakyat sedang tertekan hari ini? soal Senator UMNO
December 13, 2023· Isu semasa
Kejatuhan ‘rating’ Anwar juga disumbang kegagalan Rafizi, kata penganalisis
November 25, 2023· Politik
Anwar sahkan akan hadir ke sidang APEC walaupun digesa boikot
November 7, 2023· Isu semasa
Popular
SPRM ambil keterangan kedua Menteri DAP: Laporan
April 19, 2023
Polis cari dua wanita video gurauan tarik tudung dipakai muslimah
July 6, 2022
Rumah, kereta mewah bernilai RM1.6 juta disita SPRM
September 26, 2021
Hina Islam: Penghantar makanan masuk penjara, gagal bayar denda RM50,000
July 21, 2022
Lagi Isu semasa terkini
Rayuan Rosmah dalam kes rasuah solar didengar pada 23 Okt
April 23, 2024 · Isu semasa
Semua 10 mayat mangsa nahas helikopter berjaya dikeluarkan
April 23, 2024 · Isu semasa
Jualan saham pelabur asing tertinggi empat tahun minggu lalu: MIDF
April 22, 2024 · Isu semasa
KWSP jual pegangan saham terbesar dalam Affin Bank
April 18, 2024 · Isu semasa
Ringgit ditutup paras RM4.79 berbanding dolar, hampir cecah rekod 1997
April 18, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok