
Kerajaan Malaysia dan empat pihak lain membuat rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memberikan ganti rugi berjumlah RM3.1 juta kepada seorang pemuda yang terpotong kepala alat sulitnya. - Gambar Agenda Daily
Seorang ejen pelancongan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini, atas dua pertuduhan menggunakan dokumen palsu berhubung cadangan membina dan menyiapkan rumah keluarga untuk pegawai dan anggota tentera Kementerian Pertahanan (MINDEF), bernilai lebih RM22 juta.
Sulaiman Abdul Razak, 56, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, dia didakwa menggunakan dokumen palsu sebagai tulen, iaitu dua ‘Borang Jaminan Bank / Jaminan Syarikat Kewangan / Jaminan Insurans untuk Bon Pelaksanaan (Kontrak Kerja)’.
Dokumen palsu itu bagi ‘Cadangan Membina dan Menyiapkan Rumah Keluarga (338 Unit) Pelbagai Kelas Serta Kerja-Kerja Berkaitan’ untuk pegawai dan anggota tentera darat di Kem Batu 10, Kuantan, Pahang, bernilai RM3.75 juta dan RM18.75 juta.
Sulaiman dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu di MINDEF, Jalan Padang Tembak, Sentul, di sini antara 20 Oktober dan 15 November 2006.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 467 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Zulaaikha Mohd Apandi menawarkan jaminan RM500,000 bagi kedua-dua pertuduhan, namun peguam, Adi Zulkarnain Zulkafli yang mewakili Sulaiman memohon jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya ada penyakit kencing manis, darah tinggi dan menanggung keluarga.
“Jumlah jaminan RM500,000 terlalu tinggi dan anak guam saya tidak mempunyai kesalahan (jenayah) lain. Pada 4 Julai ini, anak guam akan menunaikan haji dan jika dia dipenjarakan, kemungkinan dia tidak dapat mengerjakan haji,” kata peguam itu.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM80,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan melapor diri sebulan sekali di balai polis berdekatan dan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Kamarudin menetapkan 1 Ogos untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.