Editor RTM salah lapor gelar Hamas militan kena Surat Tunjuk Sebab

Pegawai terlibat dalam suntingan berita berbahasa Mandarin di saluran televisyen nasional, RTM sudah dikenakan tindakan Surat Tunjuk Sebab ekoran tersalah laporan berita menggelar kumpulan Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) sebagai militan baru-baru ini.

Editor Meja Mandarin dan Ketua Editor Berita Mandarin yang terlibat dalam menyunting berita tersebut sudah dipanggil bagi memberi penjelasan dan diberikan Surat Tunjuk Sebab, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah.

“Seksyen Berita Hal Ehwal Semasa juga telah diminta mengkaji semula prosedur operasi standard (SOP) tugasan Bilik Berita khususnya dalam penyuntingan dan penerbitan berita TV untuk memastikan kesilapan serupa tidak berulang di masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Istilah berkenaan didakwa digunakan dalam pelaporan berita berbahasa Mandarin di TV2 RTM, semalam berkaitan serangan udara Israel terhadap Palestin.

Permohonan maaf secara terbuka mengenainya dalam siaran berita untuk pembetulan telah disiarkan dalam Berita Tengah Hari pada 1 tengah hari dan Berita Mandarin pukul 7 malam hari yang sama.

Saifuddin berkata RTM peka tentang situasi yang berlaku dan sentiasa teguh menyokong pendirian Malaysia dan aspirasi rakyat berhubung konflik yang melanda dan mendukung kedaulatan serta kebebasan Palestin.

“RTM akan terus berusaha dalam menambah baik kualiti penyampaian berita dari semasa ke semasa,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR