Ebit Liew dakwa 11 pertuduhan di mahkamah bertujuan untuk hina dirinya

Penceramah motivasi, Ebit Lew agak terkejut dengan pendakwaan yang dihadapinya di Mahkamah Majistret di Tenom, Sabah, hari ini.

Ebit menyifatkan pertuduhan tersebut dibuat bertujuan untuk menghina dan menjatuhkan kredibilitinya oleh pihak tertentu yang sudah merancang perkara tersebut sejak sekian lama.

“Berdasarkan pertuduhan tadi, saya melihat pertuduhan ini satu tuduhan yang tak berasas, melampau dan memang bertujuan untuk menjatuhkan kredibiliti saya, supaya saya dihina, direndah-rendahkan, supaya saya menghentikan kerja-kerja kebajikan saya.

“Dan ini bukan perancangan yang dibuat dalam tempoh satu, dua hari,” katanya selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Tenom, Sabah, hari ini.

Ebit dihadapkan berdepan 11 pertuduhan berkaitan gangguan seksual mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

Ia berhubung menghantar gambar dan perkataan lucah dengan maksud mengaibkan kehormatan seseorang melalui aplikasi Whatsapp.

Menurut polis, kesemua pertuduhan didakwa berlaku di daerah Tenom antara Mac 2021 hingga Jun 2021 melibatkan seorang perempuan.

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum sehingga lima tahun atau denda atau kedua-dua sekali.

Mengulas lanjut, Ebit berkata sejujurnya dia agak terkejut dengan pertuduhan yang dibuat keatasnya kerana ia hanya dimaklumkan dalam tempoh terdekat.

Bagaimanapun, kata Ebit apa yang berlaku itu tidak membuatkannya bersedih.

BERITA BERKAIT
POPULAR