
Bekas Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid Mohamad.
Sistem perundangan dan kehakiman Malaysia akan menjadi bahan ketawa seluruh dunia sekiranya Datuk Seri Najib Razak yang kini menjalani hukuman di Penjara Kajang, diampunkan.
Bekas Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid Mohamad berkata bekas Perdana Menteri itu telah memfailkan petisyen pengampunan iaitu 10 hari setelah Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos lalu mensabitkan kesalahan dan hukuman yang dikenakan Mahkamah Tinggi.
“Sekarang semua orang menunggu bilakah Lembaga Pengampunan akan bersidang dan apakah keputusannya.
“Katakanlah dalam masa terdekat Lembaga Pengampunan bersidang dan memberi pengampunan kepada beliau, ia akan menjadikan sistem perundangan dan kehakiman di negara ini bahan ketawa di dunia,” katanya.
Menurutnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menghabiskan bertahun-tahun menyiasat kes itu, demikian juga pendakwa raya mengambil masa berbulan-bulan mengkaji kertas siasatan.
Hakim pula katanya mengambil masa bertahun-tahun untuk membicarakan kes itu dan mendengar rayuan demi rayuan, merekod, menyemak dan mengkaji beribu-ribu halaman keterangan dan dokumen, mendengar puluhan saksi dan menulis ratusan halaman alasan penghakiman.
“Satu dua bulan selepas tertuduh disabitkan dan dihukum penjara berpuluh-puluh tahun dan didenda beratus-ratus juta atau berbilion, tanpa terpaksa melakukan apa yang disebut itu semua, ahli-ahli Lembaga Pengampunan, dengan satu ayat mengampun sabitan dan hukuman itu! Perlukah saya berkata apa-apa lagi? Bayangkanlah sendiri,” katanya.
Tun Abdul Hamid yang menjadi Ketua Hakim Negara mulai 2 November 2007 hingga 18 Oktober 2008 berkata kesalahan yang dilakukan oleh Najib adalah lebih besar daripada kesalahan Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana ia melibatkan kewangan negara.
“Patutkah Raja Berperlembagaan mengampunnya semata-mata kerana partinya menang PRU (Pilihan Raya Umum)? Jika itu berlaku, akan jadi bahan ketawalah negara Malaysia dan Raja Berperlembagaannya!
“Najib sedang menghadapi beberapa pertuduhan lagi. Jika beliau diampunkan dalam kes ini, jika selepas ini beliau didapati bersalah lagi, adakah beliau akan diampun lagi atas alasan yang sama?,” kata Abdul Hamid lagi.
Katanya beliau menegaskan hujah adil atau tidaknya sesuatu perbicaraan terletak sama ada keputusannya sah mengikut undang-undang, bukannya mengikut perasaan orang ramai apatah lagi ahli sesebuah parti politik yang semestinya berat sebelah.
Abdul Hamid berkata beliau telah membincang alasan itu satu per satu untuk membantu pembaca menilainya dan membuat keputusan sendiri.
Beliau juga menegaskan bukan tugas atau terletak di bawah bidang kuasa Lembaga Pengampunan untuk mempersoal kesahan keputusan Mahkamah Persekutuan atau mengetepikannya.
Katanya perasaan Najib tidak mendapat perbicaraan adil berdasarkan emosi ahli-ahli sesebuah parti politik tidak boleh menjadi alasan memberi pengampunan.
Abdul Hamid juga berpendapat Najib tidak wajar diberi pengampunan sekiranya Barisan Naisonal (BN) menang Pilihan Raya Umum Ke-15.
“Alasan paling kuat mengapa pengampunan tidak patut diberi atas alasan ini ialah precedent (duluan) yang diwujudkan oleh kes Anwar itu tidak patut diikuti untuk mengelak pemimpin-pemimpin yang korup, menyalahguna kuasa dan menyeleweng wang negara dan penjenayah daripada berkuasa atau berkuasa semula dan mengelak hukumam.
“Ia juga untuk mengelak ahli-ahli politik daripada memperalatkan Raja Berperlembagaan dan Lembaga Pengampunan untuk membolehkan pemimpin seperti itu berkuasa atau berkuasa semula. Itu bukanlah tujuan Lembaga Pengampunan diadakan.
“Eloklah Lembaga Pengampunan kembali kepada amalan asal: mengampun kesalahan tanpa mempertikai keesahan sabitan dan hukuman oleh mahkamah kerana Lembaga Pengampunan bukanlah mahkamah rayuan dan jika tertuduh tidak bersalah, apakah yang hendak diampunkan?,” katanya lagi.