Dulu Muhyiddin mansuh hutang RM8.3b, hari ini Ismail Sabri umum RM65j bantu peneroka Felda

July 14, 2022 · Isu semasa

Hari yang berbahagia sekali lagi menanti ribuan peneroka dan generasi muda Felda selepas tahun lalu Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin memansuhkan hutang pinjaman mereka berjumlah kira-kira RM8.3 bilion.

Hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pula pelbagai inisiatif berjumlah kira-kira RM65 juta untuk membantu meningkatkan taraf hidup mereka.

Ismail Sabri berkata daripada jumlah itu, Felda akan menyediakan dana pusingan RM10 juta bagi memberi lebih banyak peluang kepada usahawan dalam kalangan generasi baharu peneroka Felda, sekali gus membantu mereka memulakan perniagaan atau meningkatkan kapasiti perniagaan, menurut Bernama.

“Pinjaman tanpa faedah ini disediakan dengan nilai minimum RM5,000 hingga maksimum RM20,000 bergantung kepada pakej yang dipilih. Usahawan Felda yang berminat boleh mula memohon bulan depan (Ogos) dan seterusnya.

“Bagi membolehkan generasi muda peneroka terus tinggal di tanah rancangan, Felda memperkenalkan skim Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF).

“Hari ini saya ingin mengumumkan bahawa sewa bulanan RM7.6 juta yang dibayar oleh 2,025 penghuni PGBF dan sewa masa hadapan akan ditukar sebagai deposit apabila mereka membeli unit tersebut.

“Contohnya, sewa 36 bulan berjumlah RM10,800 akan digunakan sebagai deposit untuk mengurangkan harga unit rumah daripada RM90,000 kepada RM79,200 sahaja,” katanya berucap pada sambutan Hari Peneroka Felda 2022 di Felda Rentam di Bera, hari ini.

Turut hadir Menteri Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Pengerusi Felda Datuk Seri Idris Jusoh.

Pada 7 Julai tahun lalu, Muhyiddin yang juga Perdana Menteri ketika itu mengumumkan keputusan kerajaan Perikatan Nasional (PN) melupuskan sebahagian pinjaman peneroka Felda berjumlah RM8.3 bilion sebagai inisiatif penjanaan semula organisasi berusia 65 tahun itu.

Muhyiddin dilaporkan berkata, pelupusan pinjaman melalui inisiatif pelarasan pinjaman secara bersyarat itu akan mengurangkan bebanan pinjaman setiap peneroka secara purata sebanyak 80 peratus.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata bagi membantu peneroka tanaman getah, Felda memperuntukkan RM6.1 juta dana pengurusan 2022 bagi mengambil alih pengurusan pusat mengumpul getah (PMG) daripada FGV Rubber Industries Sdn Bhd, yang akan mengurangkan kos operasi kilang sebanyak 23 sen bagi setiap kilogram getah kering dengan tambahan sebanyak 5 sen apabila mencapai sasaran bulanan.

Langkah yang secara keseluruhannya melibatkan pengurangan sebanyak 28 sen akan memberi tambahan pendapatan RM11.2 juta kepada 10,707 peneroka tanaman getah, kata Perdana Menteri yang turut menekankan bahawa kerajaan dan Felda tidak pernah meminggirkan peneroka komoditi itu.

Sempena ulang tahun ke-66 penubuhan Felda tahun ini, Perdana Menteri juga mengumumkan peruntukan khas pembangunan RM66,000 kepada semua 317 rancangan menjadikan jumlah keseluruhannya RM21 juta yang boleh digunakan bagi kerja membaik pulih atau menaik taraf infrastruktur di tanah rancangan terlibat.

Selain itu, Ismail Sabri mengumumkan pertukaran program Premier Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Felda kepada Program Ulul Albab bermula tahun akademik 2023 yang bertujuan melahirkan generasi baharu Felda cemerlang dalam bidang profesional dan berpegang teguh kepada al-Quran dan sunah.

Berita berkaitan
Bubar Parlimen jika kajian sikap pengundi menyebelahi BN: Ismail Sabri
August 14, 2022· Politik
Pengurus bank sahkan RM1 juta diterima Sharir daripada Najib
August 11, 2022· Isu semasa
PH kata MoU berkuatkuasa sehingga bubar Parlimen walaupun tak disambung
July 29, 2022· Politik
Johor perintis kontrak berasaskan prestasi dalam pembinaan jalan RM601 juta
July 24, 2022· Isu semasa
Popular
Najib, Sungai Buloh jadi trend di Twitter selepas permohonan ditolak
August 16, 2022
Skandal LCS: TLDM kalah bertempur sejak awal, kata bekas panglima
August 15, 2022
Zahid tukar reka bentuk LCS walaupun TLDM tidak setuju
August 17, 2022
‘Sila laksanakan’, tulis Zahid dalam surat berkaitan skandal kapal LCS
August 17, 2022
Lagi Isu semasa terkini
Sindiket penipuan pembantu rumah ligat ketika krisis Covid-19
29 minit lalu · Isu semasa
3,516 kes semalam, 15 kematian
2 jam lalu · Isu semasa
Rayuan akhir Najib bermula hari ini
2 jam lalu · Isu semasa
Malaysia berhasrat belajar dari Thailand halal ganja perubatan
12 jam lalu · Isu semasa
‘Sila laksanakan’, tulis Zahid dalam surat berkaitan skandal kapal LCS
14 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Polisi baharu cegah kematian tahanan polis
August 15, 2022
[VIDEO] Himpunan kapal LCS mahu siasatan bukan penjelasan
August 15, 2022

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok