Dulu ‘ACP Datuk Fazley’, kini ‘Datuk Reduan’ pula lesapkan RM57,200

Sepasang suami isteri kerugian RM57,200 selepas diperdaya lelaki menyamar kakitangan Telekom Malaysia dan pegawai polis yang mendakwa mangsa terbabit dalam kegiatan pengubahan wang haram.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata pesara berusia 61 tahun itu menerima panggilan telefon daripada individu yang memperkenal diri daripada Telekom Malaysia (TM), Khamis lalu.

Dalam kenyataan hari ini beliau berkata individu terbabit memberitahu mangsa mempunyai tunggakan bil telefon namun dia menafikan perkara itu dan mendakwa mungkin namanya telah disalah guna pihak lain.

“Memandangkan akaun TM itu dibuka di Seremban, panggilan mangsa disambungkan kepada individu yang menyamar sebagai anggota polis berpangkat sarjan di Seremban, Negeri Sembilan.

“Suspek mendakwa mangsa terlibat kes pengubahan wang haram dan memberitahu seorang pegawai polis di Bukit Aman dikenali ‘Datuk Reduan’ boleh membantu menyelesaikan masalah itu,” katanya memetik laporan Utusan. Berita berkaitan

Menurut beliau, ‘Datuk Reduan’ kononnya ingin membantu mangsa dan meminta maklumat akaun lelaki itu untuk pindahan wang ke dalam akaun bagi tujuan semakan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

Katanya, setelah mangsa menyerahkan maklumat perbankannya, mangsa juga telah diminta untuk menyerahkan akaun milik isterinya beserta maklumat perbankan.

“Setelah serahan maklumat perbankan mereka dibuat, individu terbabit telah mengambil alih kawalan ke atas akaun mangsa dan memindahkan wang berjumlah RM22,000 milik mangsa dan wang milik isterinya berjumlah RM35,200 ke akaun pihak ketiga yang belum dikenal pasti.

“Mangsa yang menyedari ditipu, membuat laporan polis di Balai Polis Teluk Intan, semalam. Siasatan lanjut kes dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Beliau berkata pihaknya akan mendapatkan maklumat lengkap daripada BNM berhubung akaun yang pihak sindiket pindahkan dari akaun pasangan suami isteri tersebut.

BERITA BERKAIT
POPULAR