‘Duit raya’: Kakitangan awam dapat RM500, pesara RM250

Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya.

Kerajaan pada Khamis bersetuju memberi Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak RM500 kepada semua penjawat awam Gred 56 ke bawah.

Menerusi bantuan itu, pesara kerajaan juga akan menerima RM250.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini berkata, bantuan itu turut meliputi kakitangan kontrak, pegawai sambilan harian dan mereka yang dilantik di bawah MySTEP.

“Pemberian ini adalah bagi menghargai jasa dan pengorbanan penjawat awam dalam menggalas tanggungjawab menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat terutama semasa negara mengharungi tempoh yang penuh cabaran ini.

“Pembayaran bagi bantuan khas ini akan dibuat bersama dengan pembayaran gaji bulan Mei iaitu pada 6 Mei 2021,” kata Pejabat Perdana Menteri.

Bantuan khas itu akan memanfaatkan lebih dua juta penjawat awam dan pesara.

“Pengumuman pemberian Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri pada tahun ini dibuat lebih awal daripada tahun-tahun sebelumnya atas keprihatinan kerajaan dalam membantu mereka membuat persiapan awal menjelang hari raya.

“Kerajaan berharap dengan pemberian bantuan khas ini dapat meringankan beban kewangan kepada penjawat awam dan pesara serta dijadikan sebagai pemangkin kepada mereka untuk terus berkhidmat dengan penuh dedikasi,” kata kenyataan itu.