
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid.
Polis menahan dua pengedar dan merampas dadah seberat 32 kilogram (kg) dalam dua serbuan berasingan di sebuah kondominium dekat Damansara pada Selasa, 13 September lepas.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata dalam serbuan pertama di tempat letak kereta kondominium itu, seorang suspek berusia 40 tahun ditahan pada jam 5.30 petang.
“Pemeriksaan polis telah menemukan 31 ketulan mampat seberat 31,368 gram (g) disyaki ganja dalam but kereta milik suspek, dipercayai baharu diperoleh daripada utara tanah air,” katanya pada sidang media di Petaling Jaya hari ini menurut Bernama.
Mohamad Fakhrudin berkata melalui maklumat daripada tangkapan pertama, polis kemudian menyerbu sebuah unit pangsapuri di lokasi sama 30 minit kemudian dan menahan suspek kedua berusia 31 tahun.
“Polis menemui 184 biji pil Yaba dan 130g syabu di ruang tamu dan dapur pangsapuri berkenaan,” katanya.
“Siasatan mendapati suspek kedua baru dibebaskan enam bulan lepas atas kesalahan membabitkan dadah, selepas dipenjarakan selama sembilan tahun,” katanya.
Mohamad Fakhrudin berkata turut dirampas dalam kedua-dua serbuan berkenaan seutas rantai emas, sebuah kereta jenis Honda City dipercayai dibeli hasil penjualan dadah dan wang tunai berjumlah RM34,500.
Beliau berkata keseluruhan rampasan dadah dan sitaan berjumlah RM193,510, dan kesemua dadah itu boleh dibekalkan kepada 31,500 penagih, manakala kedua-dua suspek dipercayai bergerak aktif mengedar dadah sejak tiga bulan lepas.
“Kedua-dua mereka mempunyai sembilan rekod jenayah lampau termasuk kes dadah, selain positif dadah jenis methamphetamine dan direman selama tujuh hari. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.