
Polis menahan seorang wanita bergelar 'Datuk Seri' kerana disyaki menyamar sebagai Pengarah Bahagian Kewangan Kementerian Dalam Negeri.
Polis menahan enam individu, termasuk dua pengasas produk kecantikan selepas menyerang dan memukul seorang peniaga di Jalan Padang Garong, di Kota Bhari, awal pagi semalam (9 Julai 2022).
Semua enam individu berusia 20 hingga 45 tahun ditahan beberapa jam selepas menyerang peniaga wanita berusia 19 tahun dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata selain turut ditahan ialah suami kedua-dua wanita itu serta dua rakan mereka dalam kejadian yang turut dirakam kamera litar tertutup (CCTV).
Menurutnya ketika kejadian mangsa yang berada di premis perniagaan miliknya didatangi enam individu termasuk tiga wanita menaiki dua kenderaan yang kemudian menyerang serta memukulnya.
Dalam kenyataan hari ini Mohd Rosdi berkata bapa mangsa yang berada di lokasi dan cuba melindungi anaknya itu turut diserang serta dimaki hamun sekumpulan suspek berkenaan.
“Berdasarkan keterangan saksi dan beberapa rakaman CCTV, polis menahan tiga lelaki dan tiga wanita yang semuanya adalah peniaga berkaitan produk kecantikan.
“Hasil semakan rekod ke atas semua enam individu terbabit mendapati seorang daripadanya mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya.
Beliau berkata, hasil siasatan tiga wanita yang ditahan dalam kes itu dibebaskan dengan jamin polis pada semalam dan hari ini.
Tiga lelaki itu, katanya ditahan reman sehingga esok untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 147 dan 323 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan mendatangkan kecederaan.