Dua pemimpin UMNO Melaka ada kaitan projek tambak laut: Mkini

Dua ahli dan pemimpin politik UMNO didakwa terlibat secara langsung dalam projek pembangunan bersepadu Melaka Waterfront Economic Zone (M-Wez), lapor portal Malaysiakini (Mkini).

Laporan itu mengatakan dua pemimpin UMNO berkenaan – Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad, dan bekas Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Datuk Ghazale Muhamad – memiliki syarikat yang telah dianugerahkan kawasan konsesi dalam projek itu.

Malaysiakini berkata mereka menemui perkara ini ketika melakukan pemeriksaan ke atas projek baharu tebus guna di Klebang di bawah M-Wez, yang masih menjalani penilaian kesan alam sekitar (EIA).

Laporan EIA yang dikemukakan Konsortium Pembangunan Tanah Laut (Melaka) Sdn Bhd itu menunjukkan kerajaan negeri Barisan Nasional (BN) sebelum ini menganugerahkan konsesi tebus guna 300 ekar tanah kepada empat syarikat milik Mohamad Ali dan Ghazale antara Jun 2016 dan Februari 2017.

Syarikat itu ialah Dewi Pertiwi Development Sdn Bhd (DPDSB), Golden Straits Development Sdn Bhd (GSDSB), Nusa Waja Sdn Bhd (NWSB) dan BBM Ventures Sdn Bhd (BBM).

Menurut Malaysiakini, rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), empat syarikat itu berada dalam status tidak aktif dengan maklumat kewangan terkini mereka menunjukkan pendapatan mereka sebagai “sifar”.

Maklumat dari SSM mendedahkan bahawa Mohamad Ali dan isterinya Rosefouziah Salleh adalah pemegang saham empat syarikat itu. Pasangan itu memiliki sepenuhnya tiga syarikat iaitu DPDSB, GSDSB dan NWSB.

Bagi Ghazale pula dia disenaraikan sebagai pemegang saham dalam BBM Venture sebanyak 40 peratus pegangan.

Ketika anugerah itu diberikan, Ghazale sebagai Timbalan Exco Kewangan, Tanah, Perancang Ekonomi, Pelaburan, dan Indistri, mengendalikan terus projek M-Wez itu, lapor Malaysiakini.

Bagaimanapun, kawasan konsesi itu dianugerahkan Unit Perancang Ekonomi (UPEN) negeri di bawah pejabat ketua menteri, iaitu Datuk Seri Idris Haron ketika itu.

M-WEZ adalah koridor ekonomi baharu dan pelaburan berimpak tinggi bernilai kira-kira RM100 bilion.

Ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bulan lalu, Barisan Nasional (BN) berjanji untuk melaksanakan projek M-Wez yang disifatkan sebagai “game-changer” kepada ekonomi negeri.

Bagaimanapun, Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional (PN) menentang projek itu dengan alasan ia akan memberi kesan kepada aktiviti perikanan tempatan.

Menurut laman web M-Wez, projek mega itu melibatkan 10,117 hektar (dua kali ganda keluasan Putrajaya) di sepanjang pantai sepanjang 33 kilometer dan akan dibahagikan kepada lima bahagian.

Lima bahagian itu termasuk Melaka Harbourfront; Nukleus Logistik Pintar; Perbandaran Satelit Digital; Central Eco Business Park; dan Perbandaran Baharu Nukleus Perdagangan.

Bermula dari pantai Sungai Udang, M-Wez akan memanjang di sepanjang pantai Pantai Kundor hingga ke Kelebang, Kesidang, Kota Laksamana, Bandar Hilir, Telok Mas sehingga bahagian utara Serkam.

BERITA BERKAIT
POPULAR