Dua pemandu lawan arus elak sekatan PKP, tiada surat polis

Polis membuka siasatan berhubung klip video yang menunjukkan sebuah kereta Wira Aeroback bergerak melawan aliran trafik di atas Jambatan Kuala Selangor di Kilometer 47.8 Jalan Klang-Teluk Intan semalam.

Dalam video berkenaan terdapat individu yang merakam menyebut nombor pendaftaran WJR3170 jenis Wira Aeroback berwarna hijau, kata Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa.

Semakan terhadap nombor pendaftaran yang disebut semasa rakaman mendapati kereta itu didaftarkan atas seorang wanita di Kuala Lumpur.

“Laporan polis telah dibuat supaya siasatan dijalankan terhadap pemandu kenderaan berkenaan. Kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Dalam satu lagi kejadian, pemandu sebuah kereta Honda Jazz dikatakan membuat pusingan selepas menyedari ada sekatan jalan raya oleh polis susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan.

Kejadian itu dipercayai berlaku di Jalan Bukit Minyak, Bukit Mertajam awal pagi semalam.

Pemandu terbabit dikatakan tidak memiliki surat kebenaran merentas daerah daripada polis, sebelum membuat pusingan dan memandu dalam keadaan menentang arus.

Bagaimanapun, pemandu kereta itu masuk semula ke laluan asal sebaik tiba di persimpangan lampu isyarat. Tiada maklumat lanjut mengenai kejadian itu, sementara Polis Daerah Seberang Perai Tengah pula tidak mengulas mengenainya.

BERITA BERKAIT
POPULAR