Dua lelaki berpakaian wanita bergambar di laman istana ditahan

Polis menahan dua lelaki hari ini berhubung dakwaan berpakaian wanita dan mengambil gambar kurang sopan di hadapan Laman Mahkota Istana Bukit Serene di Johor Bahru, serta memuat naiknya menerusi laman sosial Facebook.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata gambar tersebut kemudiannya dikongsikan semula oleh pengendali Facebook Persatuan Bangsa Johor daripada pemilik akaun Facebook Bryan Wee dan Deachon Chai.

Beliau berkata tangkapan dilakukan kira-kira 12.30 hingga 1.30 tengah hari tadi di sekitar Taman Nusa Bestari dan Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan di sini, lapor Bernama.

“Kedua-duanya akan direman untuk siasatan mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan iaitu kenyataan yang menimbulkan kegusaran awam dan menggugat keharmonian negara, jika disabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

“Kes turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan atau perkhidmatan rangkaian, jika disabit kesalahan boleh dihukum denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara satu tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kamarul Zaman berkata ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua lelaki itu positif dadah jenis ketamin dan mereka turut disiasat di bawah Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Justeru, polis menyeru orang ramai supaya menggunakan media sosial secara berhemah dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang sengaja menggugat keselamatan serta ketenteraman awam,” katanya.

Terdahulu, tular menerusi media sosial beberapa keping gambar kedua-dua lelaki berkenaan berpakaian wanita dan kurang sopan di hadapan Laman Mahkota Istana Bukit Serene.

BERITA BERKAIT
POPULAR