Dua lagi penyelam warga asing ditemukan, seorang masih hilang

Dua daripada tiga penyelam warga asing yang hilang di Pulau Tokong Sanggol pada Rabu lalu, ditemukan selamat di selatan Pengerang, dekat Kota Tinggi, awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Mersing Superintendan Cyril Edward Nuing berkata penyelam warga Britain Adrian Peter Chesters dan warga Perancis Alexia Alexandra Molina dijumpai oleh nelayan tempatan kira-kira jam 1 pagi, yang memaklumkannya kepada pihak berkuasa.

Beliau berkata mangsa diselamatkan oleh Polis Marin Wilayah Dua dan dibawa ke hospital swasta di Pasir Gudang, lapor Bernama.

“Kedua-dua mangsa telah dihantar ke darat, kini berada di hospital untuk rawatan lanjut dan mereka dilaporkan berada dalam keadaan stabil,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pangkalan Hadapan Carilamat Jeti Awam Majlis Daerah Mersing, di Mersing, hari ini.

Mangsa yang masih hilang ialah anak kepada Adrian Peter, Nathen Renze Chesters, 14, warga Belanda.

“Seorang lagi mangsa belum ditemukan dan pihak kami semakin giat dengan usaha mencari dan menyelamat,” katanya.

Cyril bagaimanapun berkata pihaknya sehingga kini tidak mempunyai maklumat lanjut mengenai kedudukan sebenar dua penyelam itu dijumpai serta keadaan Nathan Renze.

Sementara itu, Pengarah Zon Maritim Mersing Komander Maritim Khairul Nizam Misran berkata tumpuan operasi pencarian hari ini adalah untuk mencari dan menyelamat remaja itu dan fokus kawasan pencarian diubah ke arah selatan hingga perairan Tanjung Pengelih, Kota Tinggi.

Beliau berkata pihak berkuasa dari Singapura dan Indonesia juga telah dimaklumkan mengenai perkara itu.

“Operasi mencari dan menyelamat giat dijalankan kerana kita masih tidak dapat kepastian bagaimana keadaan mangsa sekarang.

“Aset di laut dan udara masih sama (digerakkan), pada awalnya hari ini sektor pencarian kita dari timur Desaru hingga Tenggara, jadi kita (ubah) hingga selatan membawa ke Tanjung Pengelih,” katanya.

Beliau pada masa sama berkata pihaknya juga giat membuat hebahan mengenai pencarian seorang lagi penyelam itu kepada kapal-kapal dagang dan bot sekitar.

Dalam kejadian tengah hari Rabu, empat penyelam warga asing dilaporkan hilang ketika menyelam di perairan Pulau Tokong Sanggol, kira-kira sembilan batu nautika dari Tanjung Leman, di sini.

Bagaimanapun, jurulatih selam warga Norway Kristine Grodem, 35, ditemukan selamat dalam keadaan terapung, lengkap berpakaian dengan kelengkapan menyelam oleh sebuah bot tunda yang dalam perjalanan dari Indonesia ke Thailand pada 8.15 pagi, Khamis lepas.

BERITA BERKAIT
POPULAR