
Jumlah jangkitan baharu Covid-19 dan kes sembuh di seluruh negara semalam, 2 Ogos 2022.
Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan dua kluster baharu Covid-19 melibatkan tempat kerja dan pendidikan direkodkan dalam tempoh 24 jam semalam (Selasa, 2 Ogos 2022).
Kedua-dua kluster itu melibatkan Kluster Tapak Binaan Persiaran Mahkota 2 di Kuala Langat, Selangor, melibatkan 22 kes positif Covid-19, manakala satu lagi ialah Kluster Lorong Ilmu 2 di Seremban, Negeri Sembilan yang membabitkan 23 pesakit.
Dalam tempoh Januari 2020 hingga semalam sebanyak 7,041 kluster telah dilaporkan, namun sehingga kini hanya 19 kluster lagi yang masih aktif, manakala selebihnya telah ditamatkan.
Sementara itu, jangkitan baharu yang dicatat semalam meningkat daripada 3,213 kes pada Isnin kepada 4,204 kes, dengan KKM turut merekodkan lapan kematian akibat komplikasi Covid-19 di lima negeri.
Angka baharu itu menjadikan kumulatif positif Covid-19 sejak Januari 2020 hingga semalam meningkat kepada 4,687,470 kes, dengan 4,607,207 pesakit telah pulih, termasuk 4,582 pesakit yang sembuh semalam.
Data laman sesawang GitHUB KKM menunjukkan daripada jumlah kes baharu berkenaan, 3,045 kes melibatkan individu yang menerima dos penggalak vaksin Covid-19, diikuti 791 kes (penerima dos kedua); 339 kes (individu tidak divaksinasi); dan 29 kes (individu belum lengkap vaksinasi).
Menurut KKM, kes aktif Covid-19 sehingga kini turun kepada 44,278 kes berbanding 44,664 yang direkodkan pada Isnin, termasuk 42,661 pesakit masih menjalani kuarantin di rumah (43,080 sehingga Isnin), dan 24 lagi ditempatkan di PKRC (20 pada Isnin).
Jumlah pesakit yang dirawat di hospital pula meningkat kepada 1,537, berbanding 1,510 pesakit pada Isnin, manakala 56 pesakit dimasukkan ke unit rawatan rapi (54 pada Isnin) dengan 36 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan (33 pada Isnin).
Berikut adalah pecahan kes baharu semalam serta kumulatif positif sejak Januari 2020 lalu mengikut negeri:
- Selangor – 1,526 (1,430,617);
- Kuala Lumpur – 1,080 (405,585);
- Johor – 82 (388,942);
- Sabah – 272 (382,059);
- Sarawak – 112 (309,861);
- Kedah – 168 (304,752);
- Pulau Pinang – 172 (291,096);
- Kelantan – 90 (249,756);
- Perak – 237 (215,527);
- Negeri Sembilan – 167 (213,912);
- Pahang – 53 (174,141);
- Melaka – 80 (129,492);
- Terengganu – 37 (127,438);
- Putrajaya – 106 (24,484);
- Labuan – 10 (21,900); dan
- Perlis – 12 (17,908).
Sementara itu, KKM memaklumkan lapan pesakit meninggal dunia akibat komplikasi Covid-19 semalam, termasuk dua kes kematian di luar fasiliti kesihatan atau ‘brought in death’ (BID).
Dua daripada kematian itu masing-masing direkodkan di Melaka, Negeri Sembilan serta Sabah, manakala masing-masing satu kes di Selangor dan Terengganu.
Jumlah itu menjadikan seramai 35,985 pesakit meninggal dunia sejak Mac 2020 hingga semalam, dengan 7,646 daripadanya adalah kes BID.