
Jumlah jangkitan baharu Covid-19 dan kes sembuh di seluruh negara semalam, 28 Julai 2022.
Dua kluster baharu Covid-19 dilaporkan, masing-masing di Selangor dan Perak, dalam tempoh 24 jam semalam (Khamis, 28 Julai), yang melibatkan 22 pesakit, lapor Kementerian Kesihatan (KKM).
Kluster Jalan Padang Golf 4 di Hulu Selangor iaitu membabitkan 11 individu daripada Kumpulan Berisiko Tinggi, adalah kluster berulang kali keempat yang melibatkan penghuni dan kakitangan sebuah pusat jagaan di Kuala Kubu Baru.
Kes indeks bagi kluster ini merupakan seorang lelaki, berumur 36 tahun, warganegara Malaysia yang dilaporkan positif Covid-19 pada 26 Julai hasil saringan individu bergejala.
Manakala satu lagi di Perak melibatkan pendidikan iaitu Kluster Jalan Raja Musa Mahadi di Kinta dan Perak Tengah melibatkan 11 pelajar dan kakitangan sebuah institusi yang terletak di Jalan Raja Musa Mahadi, Ipoh.
Kes indeks bagi kluster ini merupakan seorang lelaki berumur 19 tahun warganegara Malaysia yang dilaporkan positif Covid-19 pada 22 Julai 2022 hasil saringan individu bergejala.
Sementara itu, sebanyak 3,926 jangkitan baharu Covid-19 dilaporkan di seluruh negara semalam, turun sedikit berbanding 4,503 kes yang direkodkan pada Rabu.
Daripada jumlah kes baharu berkenaan, 2,766 kes melibatkan individu yang menerima dos penggalak vaksin Covid-19, diikuti 761 kes (penerima dos kedua); 375 kes (individu tidak divaksinasi); dan 24 kes (individu belum lengkap vaksinasi).
Jumlah itu menjadikan kumulatif positif sejak Januari 2020 hingga semalam sebanyak 4,668,139 kes – ketiga tertinggi dalam kalangan negara-negara Asean selepas Vietnam dan Indonesia.
Semalam juga seramai 3,542 pesakit telah sembuh menjadikan kumulatif pulih meningkat kepada 4,584,907 pesakit.
Menurut KKM, kes aktif Covid-19 sehingga kini naik sedikit kepada 47,286 semalam, berbanding 46,902 pada Rabu, termasuk 45,657 pesakit yang menjalani kuarantin di rumah (45,318 pada Rabu), dan 30 lagi ditempatkan di PKRC (24 pada Rabu).
Selain itu, seramai 1,539 pesakit dirawat di hospital, meningkat berbanding 1,505 pada Rabu, sementara 60 pesakit dimasukkan ke unit rawatan rapi (59 pada Rabu), dengan 35 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan (30 pada Rabu).
Berikut adalah pecahan kes baharu semalam serta kumulatif positif sejak Januari 2020 lalu mengikut negeri:
- Selangor – 1,167 (1,423,779);
- Kuala Lumpur – 939 (400,837);
- Johor – 108 (388,472);
- Sabah – 249 (380,751);
- Sarawak – 80 (309,469);
- Kedah – 142 (304,093);
- Pulau Pinang – 223 (290,100);
- Kelantan – 61 (249,471);
- Perak – 331 (214,272);
- Negeri Sembilan – 244 (212,942);
- Pahang – 71 (173,874);
- Melaka – 151 (128,975);
- Terengganu – 32 (127,322);
- Putrajaya – 92 (24,089);
- Labuan – 24 (21,827); dan
- Perlis – 12 (17,866).
Sementara itu, KKM juga memaklumkan seramai empat pesakit meninggal dunia akibat komplikasi Covid-19 semalam, termasuk satu kes kematian di luar fasiliti kesihatan atau kes ‘brought in death’ (BID).
Dua daripada kes kematian itu dilaporkan di Selangor, dan masing-masing satu di Melaka (BID) dan Perak.
Jumlah itu menjadikan seramai 35,946 pesakit meninggal dunia sejak Mac 2020 hingga semalam, dengan 7,636 daripadanya adalah kes BID.