Dua kawasan di Kedah, satu di Pahang kena PKPD bermula 18 Mei

Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat akan dilaksanakan bagi menghalang penularan Covid-19.

Bandar Darulaman dan Lubuk Kawah di Jitra, Kedah, serta Ulu Lepar di Pahang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 18 hingga 31 Mei ini berikutan peningkatan jangkitan Covid-19 di kawasan terbabit.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD di Bandar Darulaman dan Lubuk Kawah – kedua-duanya di Kubang Pasu – membabitkan sembilan lokaliti.

Katanya, lokaliti yang terbabit di Bandar Darulaman dan Lubuk Kawah ialah Taman Mahsuri 2A; Taman Mahsuri 2B; Taman Mahsuri 2C; Pusat Perniagaan Bandar Barat; Kampung Paya Kerchut; Taman Tunku Anum; Kampung Lubuk Kawah; Taman Desa Tanjung; dan Taman Desa Darul Aman, Mukim Naga.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melakukan 207 ujian saringan di semua lokaliti di Bandar Darulaman dan Lubuk Kawah dan 94 daripadanya disahkan positif Covid-19.

“Di Ulu Lepar, Pahang pula lapan kes jangkitan Covid-19 direkodkan.

“KKM juga melaporkan berlaku peningkatan kes secara mendadak serta kadar kebolehjangkitan yang tinggi di lokaliti terlibat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail Sabri turut memaklumkan penamatan PKPD di Windmills Condominium, Genting View Resorts dan Apartment Mawar, Genting Highlands, Bentong, Pahang hari ini.

PKPD di kawasan berkenaan ditamatkan lebih awal daripada dijadualkan pada 23 Mei selepas KKM mengesahkan terdapat penurunan kes dan kluster adalah terkawal manakala semua kes positif telah menerima rawatan.

“KKM telah melakukan 237 ujian saringan di lokaliti berkenaan dan tujuh daripadanya disahkan positif COVID-19,” katanya.

POPULAR
Cemas tertukar bayi di hospitalJune 13, 2021
Malaysia sedang bangunkan dua vaksin Covid-19 sendiriJune 12, 2021
Masjid tak ditutup, aktiviti hanya ditangguh, kata Mufti KelantanJune 13, 2021
Polis tahan lori bawa 48 pekerja kilang proses ayam positif Covid-19June 14, 2021
Tajuddin kena kompaun RM1,500 tak pakai pelitup mukaJune 9, 2021
PM yakin Kuala Lumpur capai imunisasi kelompok menjelang 31 OgosJune 13, 2021