
Bursa Malaysia.
Bursa Malaysia terus mencatatkan penurunan untuk hari kedua berturut-turut hari ini berikutan tekanan jualan yang berterusan terutamanya di kaunter telekomunikasi dan berkaitan komoditi, sejajar dengan pasaran serantau yang lemah.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 6.68 mata atau 0.46 peratus kepada 1,444.56 daripada 1,451.24 pada Selasa, menurut laporan Bernama.
Indeks barometer dibuka rendah 1.79 mata kepada 1,449.45 dan turun naik antara 1,441.85 dan 1,450.28 sepanjang hari.
Suasana pasaran turut negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 555 berbanding 348 manakala 419 kaunter tidak berubah, 943 tidak diniagakan dan 17 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 2.79 bilion unit bernilai RM1.88 bilion.
Penganalisis Kanan Malacca Securities Sdn Bhd Kenneth Leong berkata aktiviti pengambilan untung daripada kenaikan pada minggu sebelumnya masih kekal.
Penurunan pasaran turut disebabkan oleh kebimbangan mengenai penurunan penarafan kredit Amerika Syarikat (AS) dan ketegangan baharu antara AS dan China.
“Melihat ke hadapan, kami menjangka penurunan seterusnya dijangka berterusan berikutan pelabur terus meneliti kenaikan baru-baru ini sebelum langkah baharu bermula untuk pemulihan diteruskan,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Leong berkata pelabur turut memantau beberapa data ekonomi utama seperti keputusan kadar faedah oleh Bank of England serta Indeks Pengurus Pembelian Bukan Pembuatan AS dan Pesanan Kilang yang akan dikeluarkan esok.
“Dari segi teknikal, kami menjangka 1,430 akan menjadi paras sokongan utama. Jika indeks utama berjaya kekal bertahan melebihi paras tersebut, kenaikan akan berada pada paras 1,460-1,480.
“Sementara itu, jika paras 1,430 memberi laluan, paras sokongan seterusnya ialah pada 1,400,” katanya.
Saham wajaran tinggi, Maybank berkurangan empat sen kepada RM8.95, CIMB merosot lima sen kepada RM5.47 dan Petronas Chemicals susut 10 sen kepada RM6.75.
Public Bank menambah satu sen kepada RM4.13 dan Tenaga Nasional naik dua sen kepada RM9.57.
Daripada saham aktif, UEM Sunrise naik 4.5 sen kepada 50.5 sen, Widad dan Velesto, masing-masing meningkat setengah sen kepada 43 sen dan 23.5 sen, YTL Power menambah tujuh sen kepada RM1.45 manakala KNM merosot setengah sen kepada 9.0 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas berkurangan 46.92 mata kepada 10,611.65, Indeks FBMT 100 susut 46.77 mata kepada 10,305.68, Indeks FBM Emas Shariah merosot 50.33 mata kepada 10,872.46, Indeks FBM ACE berkurangan 18.52 mata kepada 5,288.89 dan Indeks FBM 70 susut 59.33 mata kepada 13,911.88.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 69.07 mata kepada 16,123.39, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan berkurangan 1.80 mata kepada 165.77, Indeks Perladangan susut 43.63 mata kepada 7,100.89 dan Indeks Tenaga merosot 0.64 mata kepada 832.47.
Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurangan kepada 1.81 bilion unit bernilai RM1.61 bilion daripada 2.65 bilion unit bernilai RM1.47 bilion pada Selasa.
Jumlah dagangan waran naik kepada 451.29 juta unit bernilai RM76.58 juta daripada 330.98 juta unit bernilai RM55.70 juta sebelum ini.
Jumlah dagangan Pasaran ACE merosot kepada 527.29 juta saham bernilai RM192.50 juta daripada 846.57 juta saham bernilai RM231.54 juta semalam.
Kaunter barangan pengguna dan perkhidmatan menyumbang 288.14 juta saham diniagakan di Pasaran Utama, produk perindustrian dan perkhidmatan (310.82 juta); pembinaan (110.80 juta); teknologi (190.06 juta); SPAC (sifar); perkhidmatan kewangan (51.03 juta); hartanah (353.87 juta); perladangan (34.20 juta); REIT (11.62 juta), dana tertutup (30,600); tenaga (239.10 juta); penjagaan kesihatan (67.46 juta); telekomunikasi dan media (25.60 juta); pengangkutan dan logistik (32.21 juta) dan utiliti (99.73 juta).