Dr Mahathir stabil di IJN

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang dirawat di Institut Jantung Negara (IJN) sejak dua hari lalu kini dalam keadaan stabil.

Anak beliau, Datin Paduka Marina Mahathir dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan Dr Mahathir dirawat di IJN sejak dua hari lalu susulan prosedur elektif yang berjaya dilaksanakan pada 8 Januari 2022.

“Keadaan beliau kini stabil dan memberi respon yang baik kepada rawatan tersebut.

“Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali serta keluarga memohon agar rakyat mendoakan supaya beliau segera sembuh sepenuhnya,” kata beliau.

Dr Mahathir, 96, mempunyai sejarah penyakit jantung dan beliau pernah mengalami tiga serangan jantung, satu pada 1989 dan dua lagi pada tahun 2006.

Beliau juga telah menjalani empat kali pembedahan pintasan dan secara berkala dimasukkan ke IJN untuk pemeriksaan kesihatan.

Pada 16 Disember lalu Dr Mahathir dimasukkan ke IJN untuk pemeriksaan perubatan menyeluruh dan pemantauan lanjut, sebelum dibenarkan keluar dari IJN pada 23 Disember.

Bagaimanapun, Dr Mahathir dimasukkan ke IJN sekali lagi pada 7 Januari lalu bagi menjalani prosedur perubatan elektif dan dibenar keluar pada 13 Januari.

BERITA BERKAIT
POPULAR