Dr Mahathir sindir Pua yang sentap selepas dikritik

Tun Dr Mahathir Mohamad menyindir bekas Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Tony Pua yang sentap dengan kritikannya kerana berlagak seperti seorang menteri semasa Pakatan Harapan (PH) memerintah selama 22 bulan sebelum ini.

Bekas Perdana Menteri (PM) dua kali itu berkata Pua sepatutnya tidak perlu terasa dengan tulisan dalam buku baharu dilancarkan, tetapi kerana terlalu sentap dengan kritikan terpaksa mempertahankan dirinya dengan berjela-jela surat penafian.

“Seperti yang anda tahu saya tidak menamakan dia (dalam buku itu). Tetapi jelas sekali dia faham apa yang saya katakan tentang dia.

“Respons dia sendiri membuktikan apa yang saya katakan adalah benar,” kata Mahathir dipetik laporan Malaysiakini hari ini.

Jelas Dr Mahathir, tindakan Pua itu secara tidak langsung mengesahkan individu yang bekerja dengan Lim Guan Eng semasa memegang portfolio Menteri Kewangan dan berlagak seperti seorang menteri adalah dirinya sendiri.

“Kenapa dia perlu menjawab jika ia mengenai orang lain?

“Dialah yang mengambil masa lama untuk menjawab tiga kali, menulis esei panjang mengenainya,” katanya lagi.

Dr Mahathir hari ini melancarkan secara maya memoir terbarunya, Capturing Hope: The Struggle Continues for a New Malaysia yang diadakan di sebuah kedai buku.

Pua menjadi sasaran kritikan Dr Mahathir dan didakwa mencampuri urusan kerajaan dan mengugut pemaju yang terlibat dalam projek bermasalah di pusat bandar ketika era pemerintahan kerajaan PH.

Dr Mahathir berkata, individu itu disifatkan sebagai seorang yang sombong dan berkelakuan seperti menteri dan bukannya setiausaha politik.

Tindakan pemimpin DAP itu disifatkan Dr Mahathir boleh memberi ‘peluru’ kepada penyokong UMNO untuk membangkitkan sentimen perkauman terhadap parti.

Bahkan, disebabkan tindakan penasihat Menteri Kewangan ketika itu juga, dakwa Dr Mahathir, menyebabkan terdapat ahli perniagaan yang menolak pentadbiran PH.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Ahli Parlimen Damansara dari DAP, Tony Pua tampil mengakui beliau merupakan individu yang menjadi sasaran kritikan Dr Mahathir dalam buku tersebut.

Pua membuat kenyataan balas terhadap bekas PM itu dan mendakwa Dr Mahathir hanya memihak kepada “ahli perniagaan jahat” yang dikatakan membuat tuduhan palsu terhadapnya.

Capturing Hope: The Struggle Continues for a New Malaysia adalah memoir kedua Mahathir yang menyentuh peristiwa bermula peletakan jawatannya sebagai PM pada 2003 sehingga kembali memegang jawatan itu pada 2018.

BERITA BERKAIT
POPULAR