
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sekali lagi mencadangkan supaya ringgit ditambat.
Bekas Perdana Menteri dua kali Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad sekali lagi mengulangi gesaan supaya negara menambat ringgit, sebagaimana dilakukannya ketika krisis kewangan Asia pada 1998, serta melaksanakan pemberian subsidi besar-besaran kepada rakyat.
Dalam temu bual dengan sebuah akhbar tempatan semalam yang disiarkan hari ini, beliau berkata nilai ringgit tidak lagi sepatutnya ditentukan oleh pasaran terbuka, tetapi harus ditambat semula – seperti yang dilakukannya semasa pertama kali menjadi perdana menteri.
“Seperti dahulu, kita (Malaysia) menyelamatkan negara dan negara lain apabila kadar tukaran mata wang ringgit ditetapkan pada RM3.80 kepada satu dolar Amerika Syarikat (AS) ketika menghadapi Krisis Kewangan Asia 1998.
“Bukan sahaja kita diselamatkan, malah semua negara lain turut mendapat manfaat daripada ini.
“Tetapi kita sekarang tidak jaga nilai mata wang. Bila tidak jaga, ada orang yang sengaja menurunkan nilai ringgit. Bila keadaan itu berlaku, kita jadi miskin disebabkan keupayaan membeli kita menurun.
“Kalau nilai mata wang kita semakin merudum, maka pelabur asing akan keluar daripada Malaysia. Ini kerana kalau nilai mata wang semakin jatuh, mereka akan bertambah rugi. Sebab itu kita lihat pelabur banyak menarik keluar pelaburan dari negara ini,” katanya.
Dr Mahathir juga dilaporkan berkata pelabur asing akan menarik diri dari Malaysia apabila nilai ringgit jatuh bagi mengelak mengalami kerugian.
Dr Mahathir kali pertama menjadi Perdana Menteri Malaysia dari 1981 hingga 2003, dan sekali lagi dari Mei 2018 hingga Februari 2020.
Ringgit mula ditambat sejak 1998 hingga 2005, dan Bank Negara Malaysia pada 21 Julai 2005 beralih kepada sistem apungan terurus untuk ringgit.
Ini bukan kali pertama Dr Mahathir membangkitkan idea Malaysia menambat ringgit kepada AS sekali lagi, setelah pada 11 Mei lalu menyampaikan cadangan itu di tengah-tengah nilai ringgit yang merosot dan turun naik.
Pada 13 Mei, Gabenor Bank Negara (BNM) Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata menambat ringgit bukan langkah terbaik buat negara kerana ia akan membawa risiko yang besar seperti perlu mencerminkan dasar monetari negara.
Nor Shamsiah juga berkata tambatan mata wang sebegitu akan menjejaskan sentimen pelabur yang juga boleh membawa kepada pengaliran keluar modal dan menegaskan bahawa mempunyai kadar pertukaran yang fleksibel adalah yang paling sesuai untuk Malaysia dalam keadaan semasa.
Dalam temu bual yang sama, Dr Mahathir berkata Malaysia harus mencontohi inisiatif kerajaan AS semasa krisis kewangan 2008 di mana ia telah melonggarkan kuantitatif untuk membantu rakyat dengan kenaikan kos sara hidup.
Menjawab dakwaan bahawa kerajaan kekurangan dana untuk memberi subsidi tambahan kepada rakyat Malaysia, Dr Mahathir berkata negara itu sebenarnya mempunyai rizab Perbendaharaan yang banyak – dengan 40 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) disimpan setiap tahun – dan sebahagian daripada dana ini boleh digunakan untuk memberi subsidi.
Menurutnya menggunakan sebahagian daripada dana ini untuk subsidi tidak akan menjadi liabiliti, kerana wang itu adalah daripada simpanan dan bukan daripada pinjaman.
“Kita mungkin boleh buat pinjaman (luar). Tetapi dalam negara kita, Malaysia luar biasa. Kita mempunyai rizab simpanan yang cukup tinggi. Merangkumi 40 peratus daripada KDNK yang disimpan tiap-tiap tahun. Kita ada banyak duit.
“Sebahagian daripada duit itu boleh diguna dan tidak menjadi kos (liabiliti) kerana duit itu cuma tabungan sahaja. Jadi kalau kita ambil mungkin 10 atau 20 peratus daripada tabungan berkenaan, tidak akan menjejaskan rizab perbendaharaan kita. Tabungan kita masih besar dan ia akan memperkuatkan mata wang kita,” tegasnya.
Ahli Parlimen Langkawi itu berkata langkah kerajaan mengagihkan pemberian subsidi besar-besaran kepada rakyat pada saat krisis tidak akan merugikan kerajaan.
Katanya, hal ini kerana wang yang diberi kepada rakyat untuk berbelanja, penjual akan mendapat keuntungan dan kerajaan akhirnya akan kembali mendapat dana melalui hasil kutipan cukai korporat dan perniagaan.
“Ini semua memerlukan cara kerajaan tangani isu ekonomi dengan baik. Kita perlu bantu rakyat, beri subsidi yang mana patut. Subsidi oleh kerajaan tidak merugikan kerajaan.
“Kalau kerajaan belanja RM100 juta kepada rakyat, mungkin kita akan dapat kutip balik cukai sehingga RM50 juta. Ini semua kita kena cekap dalam bidang pengurusan kewangan. Dengan langkah ini, kenaikan kos sara hidup dapat dibendung dan ekonomi negara tidak akan terjejas.
“Ini kerana Malaysia mempunyai tabungan perbendaharaan yang cukup besar. Kita tidak seperti Sri Lanka, yang langsung tiada satu sen pun tabungan. Justeru, negara berkenaan tidak boleh sumbang satu sen pun subsidi kepada rakyat, kerajaan Malaysia boleh,” katanya.