
Tun Dr Mahathir Mohamad. - Gambar Agenda Daily
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad disahkan positif Covid-19 pagi ini (31 Ogos 2022), kata kenyataan pejabat beliau hari ini.
Beliau kemudian dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk rawatan dan pemantauan.
“Tun Dr Mahathir bin Mohamad disahkan positif Covid-19 pagi ini.
“Dr Mahathir telah dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk pemantauan buat beberapa hari seperti yang dinasihatkan oleh pasukan kesihatan,” kata kenyataan itu.
Sejak beberapa hari lalu, Dr Mahathir dilaporkan menghadiri majlis Gerakan Tanah Air (GTA) di beberapa negeri dalam kempen penerangan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 tidak lama lagi.
Pada 16 Disember tahun lalu Dr Mahathir dimasukkan ke IJN untuk menjalani pemeriksaan kesihatan menyeluruh, sebelum dibenarkan pulang pada 23 Disember.
Pada 7 Januari tahun ini, Ahli Parlimen Langkawi itu sekali lagi dimasukkan ke IJN untuk menjalani prosedur perubatan elektif dan dibenarkan pulang enam hari kemudian.
Pengerusi Pejuang itu dirawat di Unit Rawatan Koronari IJN pada 22 Januari lalu dan dibenarkan pulang pada 4 Februari.