
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menjawab empat persoalan yang dibangkitkan bekas Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali.
Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menjawab empat persoalan yang dibangkitkan bekas Peguam Negara (AG) Tan Sri Mohamed Apandi Ali terhadapnya.
Empat persoalan itu ialah berkaitan tuntutan kes Batu Puteh; arahan supaya bekas AG Tommy Thomas menjawab surat tuntutan Sulu ke atas Sabah; kes pemecatan tidak sah Apandi; dan anak-anak yang menjadi jutawan.
Bagi persoalan pertama dibangkitkan Apandi kepadanya, Dr Mahathir iaitu kenapa tuntutan kes Batu Puteh di ICJ ditarik balik, pada Mei 2018, 2 minggu sebelum tarikh bicara di The Hague? (Masa itu Kabinet belum lagi wujud dan penarikan tuntutan itu dibuat tanpa sebarang rujukan/keputusan Kabinet?
Menjawab soalan ini, bekas Perdana Menteri dua kali itu dalam satu kenyataan berkata:
1. Tuntutan kes Batu Putih ditarik balik kerana perjanjian dengan ICJ dan Singapura ialah segala keputusan oleh mahkamah akan diterima oleh kedua-dua pihak. Perjanjian yang sama dibuat antara Malaysia, Indonesia dan mahkamah antarabangsa berkenaan Sipadan dan Ligitan;
2. Jika Malaysia tidak menepati dengan syarat mahkamah antarabangsa bahawa keputusan mesti diterima oleh kedua-dua pihak (Malaysia dan Singapura), Indonesia juga boleh buat tuntutan untuk tidak menepati perjanjian yang sama berkenaan Pulau Sipadan dan Ligitan;
3. Janji antarabangsa oleh sebuah negara berdaulat hendaklah ditunai sebagai amanah. Jika tidak, Malaysia tidak akan dipercayai akan tunai perjanjian dengan negara lain. Malaysia akan hilang kredibiliti;
4. Lagipun Malaysia mendapat ‘Middle Rock’ yang boleh ditebus guna sehingga menjadi pulau besar seperti yang diperbuat dengan Pulau Layang-Layang;
5. Kesalahan bermula dengan pegawai Kerajaan Johor menyatakan kepada British bahawa Pulau Batu Putih bukan milik Johor; dan
6. Fakta baru, jika ada, sepatutnya dikemukakan kepada mahkamah antarabangsa semasa membuat representasi bahawa Pulau Batu Putih adalah hak Malaysia.
Bagi soalan kedua iaitu kenapa AG pada zaman Dr Mahathir, iaitu Tommy Thomas, telah diarah untuk menjawab surat tuntutan ke atas Sabah oleh pewaris kesultanan Sulu, yang mana surat bertarikh 19 September 2019 itu, telah menjadi asas tuntutan mereka di Sepanyol dan dikuatkuasakan di Perancis?
Dr Mahathir menjawab:
7. Tuntutan oleh pewaris Kesultanan Sabah dibuat apabila Malaysia memberhenti bayaran tiap-tiap tahun kononnya kerana serangan orang Sulu ke atas Lahad Datu. Semasa bayaran diteruskan mengikut perjanjian tidak ada masalah dengan pewaris;
8. Tuntutan oleh pewaris Sultan Sulu dibuat semasa pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah Datuk Seri Najib Razak. Kerajaan BN tidak bertindak untuk menolak jurisdiction (kuasa undangan) mahkamah Sepanyol atau membayar balik bayaran yang telah dihentikan;
9. Tidak ada bukti bahawa tindakan Najib telah dipersetujui oleh AG pada masa itu atau Kabinet. Najib bertindak tanpa mengikuti proses pentadbiran;
Soalan ketiga ialah mengapa Kerajaan Malaysia telah membuat penyelesaian secara persetujuan di atas kes pemecatan yang tidak sah terhadap diri saya sebagai AG? (Ini adalah suatu pengakuan bahawa tindak-tanduk Mahathir secara arbitrari adalah salah dari segi tatacara/perundangan).
Dr Mahathir berkata:
10. Pemecatan Apandi disebabkan ianya memutus bahawa Najib tidak membuat apa-apa kesalahan berkenaan pengurusan 1MDB, sedangkan seluruh dunia ketahui, dan Department of Justice Amerika Syarikat menyatakan secara terbuka bahawa terdapat pencurian wang 1MDB oleh “MO1”, iaitu Najib;
11. Apabila AG baru (Tommy Thomas) dilantik, ia mendapati ada kesalahan yang dilakukan oleh Najib. Dengan itu Najib didakwa di Mahkamah Tinggi Malaysia. Setelah perbicaraan di mana Najib diberi peluang pertahan dirinya selama lebih satu tahun, mahkamah menghukum bahawa Najib bersalah dalam 7 kes dan dikenakan denda 210 juta ringgit dan penjara 12 tahun. Setelah rayuan dibuat dengan Mahkamah Rayuan, keputusan Mahkamah Tinggi didakwa benar dan sah;
12. Semua ini menunjuk bahawa Apandi cuai atau sengaja mendakwa tidak ada apa-apa kesalahan yang dilaku oleh Najib supaya kesnya tidak dihadapkan ke mahkamah; dan
13. Perbuatan Apandi menunjuk bahawa ia tidak memegang kepada “Rule of Law”. Ia tidak sesuai menjadi AG. Memang pun Kerajaan berhak untuk menamat pegawai yang membuat keputusan yang jelas salah. Ramai sudah pegawai yang membuat salah dilucutkan dari jawatannya.
Soalan keempat ialah dalam dunia ini, mana lagi ada seorang Perdana Menteri yang mana anak-anak mereka menjadi jutawan?
Dr Mahathir menjawab:
14. Sila beri bukti yang anak-anak saya menjadi jutawan semasa saya menjawat jawatan Perdana Menteri;
15. Sebenarnya anak-anak saya tidak pun dibenar berniaga dengan Kerajaan atau menyertai parti Kerajaan;
16. Jika ada anak yang jadi jutawan sila beri bukti akan tarikh gelaran ini diberi kepada mereka, serta bukti kejutaan mereka; dan
17. Jika tidak ada bukti saya anggap kenyataan ini adalah fitnah dan saya berhak bertindak mengikut undang-undang.