
Bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan kotak rahsia yang kononnya mengandungi maklumat kekayaaan pemimpin terdahulu.
Beliau turut mencabar Anwar membawa perkara itu ke mahkamah.
“Saya hairan dengan tindak-tanduk Datuk Seri Anwar sejak akhir-akhir ini.
“Konon ramai pemimpin dahulu kaya kerana rasuah dan dia punyai berpuluh kotak berkenaan tuduhan ini. Kalau sudah ada dedahlah dan cajlah di mahkamah,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Dalam kenyataan sama, Dr Mahathir turut mempelawa Anwar mendakwanya di mahkamah supaya tuduhan yang disebut-sebut Ahli Parlimen Tambun itu berkait kekayaannya dan keluarga dapat didedahkan kepada dunia.
“Pada masa yang sama Anwar kononnya mempunyai maklumat tentang berbilion yang disapu oleh saya dan keluarga saya.
“Tak payahlah menyuruh saya buat deklarasi kekayaan saya kerana kononnya Anwar tahu. Dia punyai banyak kotak dokumen yang kononnya penuh maklumat berkenaan kekayaan saya.
“Di mahkamah tunjuk bukti yang ada pada Anwar akan kekayaan saya. Dengan itu, pengisytiharan tentang kekayaan saya akan diketahui dunia. Tak perlu saya isytihar lagi. Tetapi Anwar juga perlu isytihar,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru agar Anwar mengisytiharkan hartanya ketika menjawat sebagai timbalan perdana menteri pada 1993 hingga 1998.
“Konon nak suruh pemimpin lama isytihar kekayaan mereka dan bantu rakyat miskin. Anwar adalah satu dari pemimpin lama yang dituduh bantu kroni.
“Dedahlah kekayaan masa jadi timbalan perdana menteri seperti yang dituntut sekarang dan bantulah rakyat dengan duit sendiri bukan duit kerajaan.
Semalam, Anwar mengulangi gesaan dan cabaran terhadap Dr Mahathir agar mendedahkan segala aset dimiliki diri serta keluarganya.
Sebelum ini Dr Mahatir memafialkan saman fitnah terhadap Anwar dan menuntut ganti rugi RM150 juta berhubung ucapan presiden PKR itu di Kongres Nasional Khas Malaysia Madani: ‘Pelaksanaan Sebuah Idealisme’,Mac lalu.
Dr Mahathir mendakwa kenyataan Anwar dalam ucapannya pada kongres itu membawa maksud beliau membolot harta untuk keluarga dan kehilangan harta, aset atau saham orang Melayu adalah berkait dengan harta, aset atau saham milik keluarganya.