Dr M sindir Najib popular boleh jadi PM lagi, dapat curi duit lagi

Populariti Datuk Seri Najib Razak yang diakui oleh dirinya sendiri dikalangan rakyat akan dapat menjadikannya kembali menjadi Perdana Menteri (PM) semula selepas ini, sindir Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir berkata apabila Najib dapat menjadi PM semula, kemudiaan duit negara akan dicuri lagi seperti berlaku sebelum ini yang terbukti dengan puluhan pertuduhan kes sedang dibicarakan di mahkamah.

“Jangan sebut. Kalau sebut nama Najib dia akan lebih disukai ramai. Orang yang popular dalam negara demokratik akan jadi pemimpin, jadi Perdana Menteri pun.

“Perdana Menteri boleh curi berbilion Ringgit. Jangan sebut nama pencuri ini. Ia akan jadi popular, jadi Perdana Menteri dan curi duit lagi,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Najib sebelum ini mengkritik Pengerusi Pejuang tersebut yang didakwa selalu meratib namanya, Dr Mahathir membalasnya sekiranya tidak diratib rakyat akan melupai terhadap segala jenayah yang sebelum ini dilakukannya.

“Lupakan sahaja nama Najib. Lupakan dia curi duit. Lupakan dia dibicara dan didapati salah.

“Dia dihukum 12 tahun penjara dan denda dua ratus dua puluh million Ringgit (RM220 juta),” katanya lagi.

Selain itu, Dr Mahathir juga mempersoalkan berhubung hukuman yang sudah dijatuhkan terhadap Najib tetapi ia masih belum dijalankan sehingga sekarang. Untuk rekod, Najib sebelum ini sudah dijatuhi hukuman bersabit kesalahan menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd, sebuah anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Jangan sebut nama dia. Di mahkamah jangan sebut nama dia. Maka keadilan akan berlaku. Kena hukum. Tetapi tak payah jalan hukum. Diam sahaja. Jangan sebut nama dia.

“Kalau tak sebut nama orang yang salah, nak sebut nama siapa.

“Sebutlah nama siapa pun. Tak mengapa. Itu keadilan di Malaysia,” katanya lagi.

Menurut Dr Mahathir lagi, kes-kes yang sedang berjalan terhadap Najib boleh ditarik balik oleh Peguam Negara tetapi tidak menamakan individu tersebut kerana bimbang akan disaman kerana menghina.

“Boleh tarik balik kes. Ada Peguam Negara (AG) untuk ini. Jika tak ada, tukar AG sahaja. Jangan sebut nama. Akan kena sue kerana menghina.

“Tak ada duit nak bayar peguam. Itu masalah awak. Undang-undang tentang tidak sebut nama masih berkuasa. Tak dapat bayar peguam masuk dalam sahaja. Itu undang-undang. Negara utama the Rule of Law, pemerintahan mengikut undang-undang. Kelentong sedikit dari undang-undang tak mengapa,” katanya lagi.

Jelasnya, apabila teguran dibuat perkara itu disifatkan sebagai menghina mahkamah dan boleh didakwa.

“Jangan tegur. Itu contempt of court, menghina mahkamah. Itu salah. Lebih baik lari ke negara lain. Jika tidak. Masuk dalam.

“Itu keadilan,” katanya lagi.

BERITA BERKAIT
POPULAR