Dr M sedia bertanding PRU15 jika diminta demi kemenangan

Mantan Perdana Menteri (PM) dua kali, Tun Dr Mahathir Mohamad sedia untuk membuat penampilan dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15) jika diminta demi memberikan kemenangan kepada parti baharu diterajuinya, Pejuang.

Ahli Parlimen Langkawi itu berkata tidak boleh menolak permintaan penyokong dan pengikut setianya yang mendesak supaya beliau masuk bertanding jika mereka merasakan ia dapat meningkatkan peluang partinya itu menang dalam PRU nanti.

“Namun, jika mereka merasakan penyertaan saya akan meningkatkan peluang parti (Pejuang) untuk menang, saya tidak boleh menolak permintaan mereka.

“Ya, sebagai pilihan terakhir,” katanya dipetik dalam wawancara bersama VICE News.

Jika Dr Mahathir masuk bertanding PRU15, ketika itu umurnya berusia 96 tahun dan mungkin menjadi calon tertua dalam sejarah negara.

Bagaimanapun, kemampuan Dr Mahathir tidak boleh dipandang ringan kerana sudah membuktikannya apabila berjaya menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) buat kali kali pertama dalam sejarah semasa PRU14 lalu.

Dr Mahathir mengetuai Pakatan Harapan (PH) yang sebelum ini merupakan pembangkang utama di Parlimen Malaysia dan berjaya mendapat majoriti mudah pada PRU14 lalu dengan 113 kerusi di Dewan Rakyat. Ditambah dengan 8 kerusi yang dimenangi Parti Warisan Sabah, mereka mempunyai 121 kerusi keseluruhannya di Parlimen, cukup bagi membentuk kerajaan baharu.

Ia merupakan satu kekalahan bersejarah bagi gabungan BN yang belum pernah kalah sebelum ini, sejak kemerdekaan Malaysia pada 1957, iaitu 61 tahun yang lalu.

Ia juga menjadikan Dr Mahathir PM buat kali kedua, dan pada umur 92 tahun, ketua kerajaan tertua di dunia ketika itu.

BERITA BERKAIT
POPULAR