
Institut Jantung Negara (IJN)
Masih terdapat pengamal media yang masih setia menunggu di Institut Jantung Negara (IJN) bagi mendapatkan perkembangan terkini Tun Dr Mahathir Mohamad yang sedang dirawat.
Mantan Perdana Menteri itu dimasukkan ke IJN sejak Sabtu lalu bagi mendapatkan rawatan lanjutan prosedur elektif dijalankan pada 8 Januari lalu.
Keadaan kesihatan menimbulkan kebimbangan orang ramai, terdapat juga kumpulan mengadakan sembahyang hajat dan berdoa agar diberikan kesembuhan kepada Dr Mahathir.
Setakat pagi ini, belum ada sebarang kenyataan rasmi terbaharu yang dikeluarkan pihak keluarga atau IJN berhubung keadaan terkini negarawan itu.
Kelmarin, anak beliau, Datin Marina memaklumkan, mereka sekeluarga sudah berinteraksi dengan Dr Mahathir.
Sabtu lalu, Marina berkata, keadaan bapanya stabil dan memberi respon yang baik.
Dr Mahathir sebelum ini dibenarkan keluar dari IJN pada 13 Januari selepas dimasukkan ke pusat perubatan itu, 7 Januari lalu bagi menjalani prosedur perubatan elektif.Pada 16 Disember lalu, beliau turut dimasukkan ke pusat sama untuk pemeriksaan perubatan menyeluruh dan pemantauan lanjut sebelum dibenarkan keluar pada 23 Disember.